Pelajar 'kepala batu' tak guna topi keledar

Antara yang diperiksa dalam Ops Didik di Telok Gadong, Klang, semalam.
Antara yang diperiksa dalam Ops Didik di Telok Gadong, Klang, semalam.
A
A
A

KLANG - Sikap ambil mudah segelintir pelajar sekolah yang mengabaikan penggunaan topi keledar membawa padah apabila disaman polis dalam Ops Didik berhampiran sebuah sekolah di Telok Gadong di sini semalam.

Operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BPST) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan bermula kira-kira jam 6.55 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya mengeluarkan 36 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dalam op itu.

"Daripada jumlah itu, kesalahan tidak memakai topi keledar merupakan yang paling banyak dikesan dengan 21 saman.

"Bagi kesalahan tidak memakai topi keledar ini, saman dikeluarkan kepada 17 pelajar dan empat lagi adalah ibu bapa," katanya.

Shamsul Amar berkata, antara alasan yang digunakan adalah kerana jarak rumah yang dekat untuk ke sekolah.

Katanya, selain itu, antara kesalahan lain yang dikesan adalah gagal menunjukkan lesen memandu, tiada lesen memandu, cermin sisi, nombor pendaftaran, cukai jalan tamat tempoh serta mengubah suai motosikal.

"Operasi sebegini akan diteruskan daripada semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran orang awam.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, kita ingin menasihatkan orang ramai sentiasa peka akan keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya," katanya.