Masalah lif di Pangsapuri Templer selesai

Aminuddin (kiri) semasa meninjau masalah lif rosak di Pangsapuri Templer di Jalan Dr Ismail hari ini.
A
A

SEREMBAN - Rungutan penduduk di Pangsapuri Templer mengenai masalah lif rosak berakhir apabila kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta untuk membaiki lif di pangsapuri berkenaan bermula awal Disember ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua empat unit lif digunakan sejak 55 tahun lalu akan diganti dengan lif baharu yang mempunyai spesifikasi keselamatan terkini demi keselesaan kira-kira 1,200 penghuni.

Menurutnya, lif lama yang digunakan itu tidak pernah diselenggarakan sejak enam tahun lalu menyebabkan dua daripadanya tidak lagi berfungsi, selain sering mengalami masalah terperangkap dalam lif.

“Setelah meneliti masalah dialami penduduk di sini, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi peruntukan sebanyak RM2.2 juta untuk menggantikan lif yang baru seawal Disember ini dan dijangka siap dalam tempoh masa setahun.

“Masalah lif di pangsapuri ini sudah terlalu lama diabaikan, tetapi kali ini kita berusaha untuk membantu memulihkan lif di sini. Kebanyakan penghuninya ialah warga emas dan mereka yang berpendapatan rendah,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat rumah pangsa berkenaan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong.

Rumah pangsa 14 tingkat yang mempunyai 238 unit kediaman dan 28 unit kedai itu dibina pada 1964 dan berstatus sewa dengan kadar sewa hanya RM40 sebulan.

Aminuddin berharap lif baharu itu nanti dapat mengatasi kesulitan penduduk dan meminta mereka supaya menggunakan kemudahan tersebut dengan baik bagi mengelak kerosakan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM157,735 bagi pemasangan alat pemadam api dan RM183,720 untuk membina tempat letak motosikal berbumbung di kediaman berkenaan, yang masing-masing dilaksanakan pada Mac dan Julai lalu.

Tambahnya, kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan berjumlah RM200,570 bagi menaik taraf landskap, RM188,974 untuk penyelenggaraan dan pembersihan berpusat bagi tempoh setahun dan RM67,200 lagi untuk penyelenggaraan lif bagi tempoh setahun.

Katanya, bagi memastikan keselamatan penduduk, kerja-kerja pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bernilai RM42,000 akan dimulakan pada Oktober depan.