Skandal 1MDB: Wang RM428,500 daripada Akademi Pemuda dilucut hak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan wang berjumlah RM428,500 yang disita daripada Akademi Pemuda dikatakan berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman memaklumkan reponden (Akademi Pemuda) tidak membantah terhadap permohonan Pendakwa Raya untuk melucutkan hak harta itu.

Dalam prosiding hari ini, Akademi Pemuda tidak diwakili peguam dan wakilnya juga tiada di mahkamah.

Permohonan melucut hak itu dibuat Pendakwa Raya mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata, permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama

Artikel Berkaitan: