Lori simen rempuh dua kedai, kereta

Brek yang gagal berfungsi menyebabkan lori terbabas ke kiri jalan dan melanggar dua kedai dan sebuah kereta.
Brek yang gagal berfungsi menyebabkan lori terbabas ke kiri jalan dan melanggar dua kedai dan sebuah kereta.
A
A
A

KOTA BHARU - Sebuah lori pembancuh simen dipandu seorang lelaki berusia 40-an hilang kawalan dan terbabas lalu merempuh dua kedai serta sebuah kereta di Jalan Machang-Ketereh, Kok Lanas di sini petang tadi.

Kejadian berlaku pada jam 2.30 petang turut hampir melanggar seorang peniaga di gerai buah miliknya.

Peniaga tersebut, Mustapa Abdullah, 63, berkata, dia yang ketika itu sedang berniaga secara tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sebelum sebuah lori simen terhenti pada jarak hanya lima meter dari tempatnya berdiri.

Dia berkata, kenderaan berat yang dipandu lelaki tersebut terlebih dahulu merempuh sebuah sebuah kedai makan, kedai kosmetik dan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa sebelum terhenti kerana terhalang oleh sebatang tiang elektrik.

Orang ramai yang mengerumuni tempat kejadian selepas berlaku rempuhan lori pembancuh simen.
Orang ramai yang mengerumuni tempat kejadian selepas berlaku rempuhan lori pembancuh simen.

“Kejadian berlaku terlalu pantas,. Selepas terdengar bunyi dentuman kuat saya sempat melihat kereta Perodua Kelisa milik peniaga kosmetik tersebut terseret apabila dirempuh lori itu.

“Mujurlah tidak ada pelanggan ketika kejadian berlaku dan ini pertama kali kejadian ini berlaku sejak 10 tahun berniaga. Saya masih lagi terkejut,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mustapa berkata, dalam keadaan kelam kabut, dia dan beberapa penduduk mendekati pemandu lori untuk melihat keadaannya.

Artikel Berkaitan:

“Lelaki tersebut dalam keadaan cemas memberitahu lorinya mengalami masalah brek dan kami kemudian membantunya keluar dari lori berkenaan,” katanya.

Difahamkan lori tersebut dipandu dari Machang menuju ke Ketereh dengan melalui kawasan berkenaan.

Ketika tiba di lampu isyarat berhampiran, pemandu dikatakan cuba berhenti tetapi gagal menyebabkannya terbabas ke kiri jalan hingga merempuh dua kedai dan sebuah kereta.

Rempuhan tersebut mengakibatkan dua kedai dan sebuah kereta mengalami kerosakan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.