Bukan romantis, tapi saya martabat sastera...

No Image Caption
A
A
A
GEORGETOWN - Penggunaan bahasa Melayu klasik dalam surat terbuka oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar bukan bersifat romantis sebaliknya untuk memartabatkan sastera Melayu.

Mujahid berkata beliau sebagai seorang yang mencintai kesusasteraan Melayu tidak melihat isu penggunaan istilah 'kekanda' dan 'adinda' itu sebagai sesuatu yang pelik sebaliknya ia menunjukkan keindahan bahasa Melayu klasik itu sendiri.

"Jadi isu ini menunjukkan masyarakat kita masih rendah dia punya nilai sastera. Mereka suka benda tanpa disedari merendahkan martabat sastera itu sendiri termasuklah istilah kekanda dan adinda itu, bukankah indah bunyinya.

"Orang kita ni gambaran dia asyik nak gambar benda lain, asyik di dalam alam romantis...sedangkan ia bukan soal romantis ia soal bahasa indah yang dipakai antara orang yang lebih senior kepada orang yang lebih junior," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Rahmah di Surau Hospital Pulau Pinang, di sini hari ini.

Pada Selasa lepas, Mujahid menulis surat terbuka kepada Nurul Izzah yang diletakkan dalam hantaran di laman Facebook miliknya berikutan keputusan Ahli Parlimen itu meletak jawatan sebagai naib presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Bagaimanapun, penggunaan istilah 'kekanda' dan 'adinda' dalam surat terbuka itu telah menarik perhatian netizen sehingga menjadi tular di media sosial.

Mujahid berkata keputusan Nurul Izzah itu adalah satu perkara yang mengejutkan semua pihak dan tujuan surat terbuka berkenaan ditulis adalah antara lain untuk memintanya mempertimbangkan semula keputusan itu.

"Saya bukan kenali Nurul Izzah satu hari. Kita bersama atas satu pentas walaupun dia junior banyak dari saya tapi saya menyaksikan pendakian dan sehingga beliau digelar puteri reformasi. Sudah tentulah bagi saya keputusan untuk beliau menarik diri adalah satu kejutan, bukan pada saya sahaja lebih pada orang yang mengamati perjuangan ini sejak dari hujung 1990-an lagi. Saya berada bersama dalam gelombang itu.

"Jadi, atas itulah maka saya menitipkan pena dengan ilham dari Cordova dalam perjalanan tiga jam dan pemandangan yang indah sebagai seorang yang penuh nilai sasteranya. Bukan sekali saya menulis bersifat sastera ini maka itulah yang melahirkan warkah dari Cordova itu. Tapi orang dok sibuk kanda dan adinda, walhal surat itu punyalah panjang. Mereka tak tengok isi (kandungan surat itu)," katanya.
Artikel Berkaitan:


Ditanya sama ada Nurul Izzah sudah membalas surat terbuka itu, katanya perkara itu adalah rahsia dan beliau tidak akan memaklumkan mengenai perkara itu.

Mengulas mengenai tindakan netizen yang mempersendakan tindakannya menulis surat terbuka itu, Mujahid berkata mereka sepatutnya berterima kasih kepadanya kerana rata-rata sudah mula menggunakan bahasa Melayu klasik itu selepas tular di media sosial.

"Saya dah biasa dengan perangai netizen dan dunia yang terbuka ini. Saya hanya anggap sebagai 'very interesting facts about netizen' dan mereka pun kena berterima kasih pada saya sebab hari ini semua orang dah mula pakai kekanda dan adinda. Patut berterima kasih kepada saya kerana memartabatkan bahasa," katanya. - Bernama