PTPTN jalin kerjasama tiga rakan strategik bantu 1 juta peminjam

Wan Saiful - Foto Bernama
Wan Saiful - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga rakan strategik.

Kerjasama persefahaman itu melibatkan PTPTN dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), agensi pekerjaan Jobstreet Sdn Bhd serta Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, kolaborasi ini mampu membantu peminjam PTPTN mendapatkan peluang mencari kerja dan membina kerjaya lebih baik, seterusnya meningkatkan prestasi bayaran balik pinjaman demi kelangsungan generasi akan datang.

"PTPTN memahami isu dihadapi peminjam dan ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami kepada peminjam.

"Langkah kerjasama dengan agensi ini diambil bagi membantu mengatasi masalah ini. la adalah di luar bidang kuasa dan fungsi kami. Namun pendekatan tanggungjawab sosial korporat ini diambil untuk memastikan peminjam PTPTN mendapat peluang pekerjaan yang sewajarnya selepas tamat pengajian," katanya pada sidang media di pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Majlis pertukaran MoU disaksikan oleh Wan Saiful, Bendahari Kehormat NCCIM, Don Nazwin Don Najib dan Pengurus Negara Jobstreet Sdn Bhd, Gan Bock Herm.

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, kerjasama ini juga diharap membantu peminjam PTPTN yang terdahulu (bermula pinjaman tahun 1997) sekiranya mereka masih menganggur atau mahu mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap kerjasama ini boleh membantu peminjam yang sehingga hari ini tidak mampu membayar langsung atau tidak mampu membayar secara konsisten.

"Kerjasama ini akan buka ruang untuk mereka mencari pekerjaan yang lebih baik," katanya.

Tambahnya, jalinan kerjasama ini akan membolehkan seramai 1 juta peminjam PTPTN mendapat manfaat.

"Kita jangka dengan bantuan semua, sekitar 1 juta peminjam akan mendapat faedah daripada kerjasama ini," katanya.

Sementara itu, Don Nazwin berkata, MyJobs di bawah NCCIM merupakan sebuah platform untuk majikan mempromosikan kekosongan jawatan dan saluran untuk orang ramai khususnya peminjam PTPTN mencari peluang pekerjaan.

"Platform ini dapat membantu membina pangkalan data permohonan pekerjaan yang boleh digunakan terutama ahli-ahli NCCIM untuk memenuhi keperluan mencari calon bagi mengisi kekosongan jawatan dengan kadar segera," katanya.

Tambahnya, seramai 650,000 majikan yang merupakan ahli NCCIM dijangka dapat menyediakan keperluan pekerjaan bagi memastikan ia dapat memenuhi permintaan dengan pekerjaan bertaraf kontrak atau program latihan pekerjaan sementara sebagai penyelesaian jangka masa pendek sebelum peserta mendapat tawaran pekerjaan tetap yang lebih baik.

ARTIKEL BERKAITAN: PTPTN jangan tekan peminjam belum bekerja, kata Anwar