Amaran Menteri Besar Negeri Sembilan

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Mana-mana industri di negeri ini yang didapati melakukan pencemaran sumber air dan alam sekitar akan dikenakan tindakan yang lebih berat termasuk dibatalkan lesen serta-merta tanpa sebarang perbincangan, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, ini adalah bagi memastikan sumber air, yang merupakan antara sumber terpenting akan terus dipelihara daripada sebarang aktiviti pencemaran yang boleh menjejaskan kehidupan seharian rakyat malah mendatangkan kerugian kepada kerajaan.

“Jadi saya nak ingatkan pada semua industri supaya mereka melakukan pembuangan sisa mengikut peraturan yang ditetapkan. Kita tak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang merosakkan sumber air kita dan alam sekitar,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup seminar perlesenan abstraksi air mentah 2019 anjuran Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan S. Veerapan.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, bagaimana pun kes pencemaran sumber air mentah di negeri ini masih dalam keadaan terkawal dan beliau tidak mahu kejadian pencemaran yang berlaku di negeri lain turut berlaku di negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata BKSANS menyumbang hampir tujuh hingga lapan peratus daripada aktiviti pelesenan kepada 270 pengusaha dan syarikat setakat ini yang mengabstrak serta menggunakan air mentah bagi tujuan domestik dan komersial kepada hasil kerajaan negeri.

Sehingga suku kedua tahun ini, menteri besar berkata BKSANS telah menyumbang sebanyak RM27 juta manakala pada tahun lepas sebanyak RM34 juta dan RM31 juta pada 2017.

“Kita menyasarkan akan menerima sebanyak RM36 juta bagi tahun ini,” katanya sambil menambah sumbangan hasil berkenaan banyak diperolehi BKSANS menerusi pembelian daripada Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan juga stesen janakuasa Jimah Energy Ventures, loji janakuasa kitarpadu Tuanku Ja’afar dan Jimah East Power Sdn Bhd, ketiga-tiganya di Port Dickson.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata kedudukan paras air di tujuh empangan di negeri ini berada dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah kita tengok minggu ini hujan di semua tempat dan setakat ini sekitar 80 peratus (paras kandungan air di empangan) dan kita tak hadapi apa-apa masalah. Kita belum lagi ke tahap kritikal dan saya yakin dengan hujan pada minggu ini, paras air akan meningkat kepada 95 ke 100 peratus,” katanya.

Negeri Sembilan mempunyai tujuh empangan iaitu empangan Talang (Kuala Pilah), empangan Triang (Jelebu), empangan Sungai Terip (Seremban), empangan Kelinchi (Kuala Pilah), empangan Ulu Sepri (Rembau), empangan Gemencheh (Tampin) dan empangan Sungai Beringin (Rembau). - Bernama