Sektor koperasi tunjuk pertumbuhan positif: MB Johor

Sheikh Umar bersama pemenang pertandingan program YESS peringkat Johor 2019.
Sheikh Umar bersama pemenang pertandingan program YESS peringkat Johor 2019.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sektor koperasi di Johor terus menunjukkan kadar pertumbuhan positif dari segi pertambahan bilangan koperasi sebanyak 2.41 peratus.

Malah sektor tersebut juga menyaksikan pertambahan modal syer dan yuran sebanyak 2.72 peratus, aset (31.11 peratus) dan peningkatan perolehan (10.20 peratus).

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, di Johor, terdapat sebanyak 1,403 buah koperasi berdaftar dengan keanggotaan seramai 465,519 orang sehingga 31 Disember 2018.

Menurutnya, sehingga tempoh tersebut, modal syer dan yuran direkodkan adalah sebanyak RM305.07 juta selain aset berjumlah RM982.57 juta dan perolehan RM887.36 juta.

"Kita menjangkakan perolehan koperasi akan melebihi RM1 bilion pada hujung tahun ini.

"Ianya, merupakan sebuah sejarah kepada Gerakan Koperasi Negeri Johor," katanya dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Program Young Entrepreneur Strive For Success (YESS) Peringkat Johor Tahun 2019 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Ali.

Sahruddin berkata, buat masa ini, sebanyak 34 peratus koperasi menjalankan aktiviti pengguna diikuti 30 peratus (perkhidmatan) dan 20 peratus (pertanian).

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain itu, tujuh peratus menjalankan aktiviti pengangkutan disusuli empat peratus (kredit), masing-masing dua peratus (perindustrian dan pembinaan) serta satu peratus (perumahan).

Selain itu, beliau berkata, di Johor sahaja, terdapat sebanyak 291 buah koperasi sekolah dengan keanggotaan seramai 248,799 orang, syer terkumpul RM4.02 juta, jumlah aset RM62.07 juta dan perolehan RM59.69 juta.

"Nilai perangkaan ini adalah sepadan dengan kedudukan koperasi sekolah yang sebahagian besarnya terdiri pelajar sekolah dan peranan koperasi sekolah itu sebagai pusat latihan dalam melahirkan generasi pemimpin koperasi dan bakal usahawan di masa hadapan," katanya.

Sahruddin turut memaklumkan kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta geran pembangunan untuk koperasi terpilih dengan hasrat menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi masyarakat khususnya di Johor.

"Sektor koperasi telah diiktiraf oleh kerajaan sebagai sektor ketiga terpenting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, selepas sektor swasta dan sektor kerajaan," katanya.