Najib bayar dua entiti melalui cek kepada orang tengah: Saksi

Wong Nai Chee - Foto Bernama
Wong Nai Chee - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembayaran yang dibuat Datuk Seri Najib Tun Razak kepada dua entiti iaitu penerbitan mingguan bahasa Cina dan pentadbir laman Facebook tidak secara terus tetapi melalui orang tengah.

Bekas Setiausaha Politik bekas perdana menteri itu, Datuk Wong Nai Chee, 50, berkata tindakan berkenaan bagi mengelak cek itu disebarkan di Facebook.

Saksi yang merupakan seorang peguam berkata, ia juga bagi menghalang pihak lain meraih faedah daripada cek itu untuk meningkatkan kredibiliti mereka.

Nai Chee, saksi kelima pendakwaan berkata cek bernilai RM246,000 ditandatangani Najib, dikeluarkan kepada hartawan, Tan Sri Lim Soon Peng, yang kemudiannya membuat pembayaran balik kepada Akademi Kewartawanan dan Informasi, serta AD Network (kedua-dua entiti itu) bagi mengelak daripada disebar di Facebook.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh ketua pendakwaan dalam kes itu, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari kedua perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Saksi itu berkata, Akademi Kewartawanan dan Informasi terlibat dalam penerbitan mingguan bahasa Cina manakala AD Network merupakan pentadbir laman Facebook Ah Jib Gor.

Nai Chee bagaimanapun menjelaskan bahawa Soon Peng tiada kaitan dengan kedua-dua entiti tersebut.

Sri Ram: Boleh jelaskan kepada Yang Arif Hakim kenapa cek-cek itu tidak dibayar terus kepada kedua-dua entiti ini?

Artikel Berkaitan:

Nai Chee: Ia dibayar kepada Soon Peng untuk membayar kembali kepada kedua-dua pihak, kerana kami percayakan Soon Peng, dia tidak akan lari dengan wang itu dan kedua-dua cek tersebut dibayar untuk perbelanjaan untuk penerbitan mingguan bahasa Cina serta mentadbir Facebook Ah Jib Gor.

Sri Ram: Kenapa membayar kembali? Apa maksudnya?

Nai Chee: Kalau kami keluarkan cek peribadi perdana menteri, kami tidak mahu ia disebar di Facebook. Kami memilih untuk membayar seseorang yang kami percaya. Kami percayakan Lim.

Sri Ram: Kamu menyebut ‘kami’, ‘Kami’ tidak mahu cek disebar di Facebook. Siapa yang kamu maksudkan sebagai kami?

Nai Chee: Saya sendiri dan PM (Najib).

Nai Chee mengesahkan bahawa beliau telah menerima sekeping cek bertarikh 21 Januari 2012, bernilai RM30,000 yang ditandatangani Najib, namun tidak boleh mengingati bila sebenarnya beliau menerima cek tersebut tetapi percaya bahawa jumlah itu dibayar kepada penganalisis politik.

Terdapat juga cek bernilai RM2,600 bertarikh 29 Mei 2012 yang tidak dapat diingatinya.

Semasa disoal peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib sama ada beliau didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram, Nai Chee berkata: "tidak, tidak pernah".

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. - Bernama