Kes pecah rumah: Geng Beliak tumpas

Noorzainy (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada serbuan di sebuah stor.
Noorzainy (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang dirampas daripada serbuan di sebuah stor.
A
A
A

KEPALA BATAS - Empat lelaki dari Geng Beliak ditahan dalam serbuan di Kampung Pengkalan Batu, Tasek Gelugor di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dengan tertangkapnya keempat-empat suspek itu, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurang sembilan kes pecah rumah di sekitar daerah ini.

Menurutnya, dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu, tiga suspek berusia 24 hingga 32 tahun ditahan di sebuah rumah, manakala seorang lagi suspek berusia 25 tahun dicekup di kawasan berhampiran.

"Siasatan mendapati kegiatan jenayah geng tersebut didalangi dua suspek, manakala dua lagi ialah pembeli barangan curi. Selepas dua hari suspek ditahan, kita menyerbu sebuah stor di Kampung Pengkalan Batu di sini.

"Dalam serbuan itu, kita menemui semula beberapa barangan seperti telefon bimbit, televisyen, komputer riba dan rokok.

"Semua barangan itu bernilai kira-kira RM20,000," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di sini hari ini.

Beliau berkata, dua daripada suspek mengaku terlibat dalam kegiatan berkenaan dan disyaki aktif sejak awal tahun ini.

"Suspek mengakui barangan yang dicuri itu akan dijual pada harga yang jauh lebih rendah daripada nilai sebenar dan kebanyakannya belum dijual.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu dengan tertangkapnya mereka, sekurang-kurang sembilan kes yang dilaporkan sejak Mei lalu di sekitar Tasek Gelugor dan Kepala Batas berjaya diselesaikan," katanya.

Tambah Noorzainy, modus operandi geng tersebut adalah dengan memecahkan pintu depan atau belakang sebelum menyelinap masuk lalu mengambil barangan berharga.

"Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah rumah," katanya.