Masalah kesesakan di Jalan P Srinivasan akan selesai

Chong Sin menunjukkan lakaran kerja-kerja pelebaran jambatan dan jalan di Jalan P Srinivasan, Kluang.
Chong Sin menunjukkan lakaran kerja-kerja pelebaran jambatan dan jalan di Jalan P Srinivasan, Kluang.
A
A
A

KLUANG - Masalah kesesakan di Jalan P Srinivasan di sini dijangka selesai apabila kerja pelebaran jambatan bernilai RM500,000 akan dilaksanakan pada September akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Chew Chong Sin berkata, beliau telah membangkitkan isu jalan ini di dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD) sejak bulan Januari lalu.

Menurutnya, beliau juga telah mengajukan permohonan secara terus kepada bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian ketika lawatannya ke daerah ini pada tahun lalu.

"Bagaimanapun, disebabkan kekangan peruntukan, kerja-kerja pelebaran jalan dan jambatan ini tidak dapat dilakukan sebelum saya mengambil inisiatif melakukan mesyuarat bersama agensi-agensi kerajaan dan pemaju-pemaju perumahan berhampiran kawasan tersebut.

"Dalam mesyuarat tersebut, Syarikat Tong Tor Sdn Bhd telah bersetuju untuk mengambil alih kerja-kerja pelebaran jambatan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan kos sebanyak RM500,000," katanya pada sidang akhbar sempna Pelebaran Jambatan Jalan P Srinivasan di sini hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan selepas pecah tanah oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 14 September ini.

Difahamkan kerja-kerja pelebaran jambatan ini dijangka akan mengambil masa di antara tiga hingga empat bulan untuk disiapkan.

Katanya, selain itu, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) juga melebarkan dan menaik taraf jalan menuju ke Taman Kluang Indah dan susur jalan dari Jalan Kota Tinggi ke Jalan P Srinivasan dengan anggaran kos RM500,000 selepas kerja-kerja pembinaan jambatan tersebut siap sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Antara kerja-kerja yang terlibat adalah pengalihan utiliti termasuk tambahan pelebaran dua laluan sedia ada dari 3.5 meter kepada empat meter dan tambahan satu laluan baharu empat meter dengan anggaran jarak sepanjang 550 meter.

"Semasa kerja-kerja pembinaan, mungkin ada kesulitan kepada pengguna jalan raya kerana laluan ini yang agak sibuk dan saya meminta kepada pengguna jalan raya untuk bersabar dan mematuhi arahan-arahan yang akan dikeluarkan," katanya.