Hormati Jalur Gemilang, tegas Aminuddin

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Mana-mana pihak yang sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik perlu dikenakan tindakan tegas sebagai pengajaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Jalur Gemilang seharusnya dijaga dan dikibarkan dengan sebaik mungkin di tempat yang sesuai serta perlu dihormati.

Katanya, masyarakat di negeri ini dinasihatkan supaya menghormati Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat cintakan negara dan keharmonian yang dikecapi sekarang ini.

"Sikap segelintir individu yang sengaja mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik merupakan mereka yang tidak sayangkan negara dan tidak menghayati kemerdekaan sebenar.

"Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mereka yang memasang bendera terbalik kerana boleh dianggap tidak menghormati negara," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pangsapuri Templer dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian bendera dipasang terbalik yang berlaku di Rantau dan Taman Sri Mawar baru-baru ini.

Aminuddin berkata, bendera Malaysia seharusnya dijaga dengan baik bagi menunjukkan rasa cintakan negara.

"Kita perlu menjaga dan menyemarakkan rasa cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan betul, jangan buat sesuatu yang sengaja untuk membangkitkan kemarahan orang lain.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu hormati bendera Malaysia. Jalur Gemilang bukan boleh dibuat main, sebab itulah kalau ada bendera yang koyak perlu diganti dengan yang baru kerana itu adalah lambang kebesaran negara," katanya.

Katanya, beliau mengharapkan masyarakat perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk memelihara Jalur Gemilang yang selama ini sudah berkibar sejak 62 tahun lalu, selepas mencapai kemerdekaan.