Kerajaan Perak tak tipu pembelian Toyota Camry: MB

Ahmad Faizal (kiri) beramah mesra dengan sebahagian peserta kejohanan selepas menyempurnakan majlis perasmian di Arena Lawn Bowls Perak di sini hari ini.
Ahmad Faizal (kiri) beramah mesra dengan sebahagian peserta kejohanan selepas menyempurnakan majlis perasmian di Arena Lawn Bowls Perak di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak menipu berhubung isu pelepasan cukai kenderaan rasmi Toyota Camry seperti didakwa pembangkang.

Sebaliknya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, maklumat diterima ketika menjawab soalan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada masa itu tidak tepat.

Menurutnya, perkara utama yang ingin dijelaskan oleh kerajaan sebenarnya adalah pembelian kenderaan itu berbaloi dan menjimatkan duit kerajaan.

"Menipu ini contohnya kalau kita ada maklumat perdana menteri mencuri, tetapi kita tidak memaklumkan DUN dan mempertahankan perdana menteri dalam Parlimen, itu menipu.

"Tetapi kalau kita dapat maklumat dan menyebut seperti maklumat yang kita ada, namun maklumat itu tak tepat, itu bukan menipu. Itu sekadar menyampaikan maklumat yang diberikan oleh pegawai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Cabaran Lawn Bowls Piala Menteri Besar Perak di Arena Lawn Bowls Perak, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad bahawa kerajaan negeri menipu DUN berhubung pengecualian cukai kenderaan rasmi kerajaan negeri, semalam.

ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan negeri berbohong dalam sidang DUN: Saarani

Ahmad Faizal berkata, perkara utama yang sepatutnya menjadi perhatian adalah penjimatan diperoleh kerajaan melalui pembelian kenderaan itu memandangkan kos ditanggung sebelum ini agak tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Dengan membeli kereta baharu ini mendapat jaminan selama 5 tahun, perbelanjaan kerajaan negeri lebih rendah dari segi penyenggaraan kereta.

"Saya berpandangan keputusan membeli itu amat tepat menjimatkan perbelanjaan selain menambah harta negeri," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan dalam kenyataannya menjelaskan bahawa Perak tidak diberikan pengecualian cukai dalam pembelian kereta Toyota Camry sebagai kenderaan rasmi itu.

Bagaimanapun pada Sidang DUN yang lepas, Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Usahawan Perak, Asmuni Awi yang menjawab bagi pihak kerajaan memaklumkan harga kereta Toyota Camry yang berharga RM190,000 seunit itu mendapat dibeli pada harga RM109,00 seunit kerana mendapat pelepasan cukai.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal dalam kenyataannya kelmarin menegaskan bahawa pembelian 16 kereta Toyota Camry, Jun lalu adalah berpatutan meskipun tidak mendapat pengecualian cukai bagi kenderaan itu.

ARTIKEL BERKAITAN Tanpa cukai, pembelian kereta tetap berpatutan: Ahmad Faizal