TFC II mahu rampas kedudukan teratas kumpulan

 Tengku Hazman Raja Hassan
Tengku Hazman Raja Hassan
A
A
A

JURULATIH Terengganu FC ll (TFC ll) Tengku Hazman Raja Hassan mahu pemainnya kekal fokus bagi memenangi perlawanan menentang pasukan naib juara Piala Cabaran musim lepas, UKM FC bulan hadapan.

Tengku Hazman berkata walaupun The Titans sudah menempah tiket awal ke pusingan separuh akhir Piala Cabaran selepas menewaskan Selangor United 2-0 malam tadi, persiapan rapi tetap akan dilakukan bagi menghadapi skuad 'The Varsity Boys' yang disifatkan sebagai lawan paling sukar.

"Saya beritahu pemain walaupun sudah layak ke separuh akhir, kita kena pastikan TFC ll berada di kedudukan teratas dalam kumpulan B dan untuk itu tiada jalan lain kena tewaskan UKM FC.

"Jadi saya akan turunkan barisan pemain terbaik pada perlawanan menentang UKM FC itu nanti dan kita harap tempoh 10 hari cukup untuk buat persiapan," katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Selangor United di Stadium Sultan Nasiruddin Shah malam tadi.

TFC ll yang berkongsi 10 mata dengan UKM FC kini berada di tangga kedua kumpulan B dengan perbezaan satu jaringan.

Sementara itu, jurulatih Selangor United Abd Talib Sulaiman berkata ketiadaan pemain tengah Nurshamil Abd Ghani yang direhatkan akibat kecederaan memang dirasai kerana beliau adalah penjaring utama dalam tiga perlawanan lepas.

"Begitu juga dengan pemain utama lain seperti Abd Hadi Yahya dan Rizal Fahmi Rosid yang tidak dapat beraksi kerana sedang dalam proses penyembuhan turut menyukarkan lagi misi kemenangan hari ini (malam tadi)," katanya.

Selangor United kekal menduduki tempat tercorot dalam Kumpulan B selepas tewas keempat-keempat perlawanan Piala Cabaran.- Bernama

Artikel Berkaitan: