Pelajar asing lebih banyak bekerja dari belajar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengawal kemasukan pelajar asing di negara ini kerana dikhuatiri akan memberi ancaman masalah jenayah dan sosial kepada masyarakat.

Penganalisis Jenayah, Datuk Akhbar Satar berkata, kebanyakan pelajar asing yang datang ke Malaysia terdiri daripada pelajar bermasalah.

“Mereka datang bukannya hendak belajar, tapi lebih kepada mencari pekerjaan dan membuat salah laku jenayah.

”Banyak kes jenayah yang berlaku seperti salah guna dadah dan penipuan dilakukan warga asing khususnya dari Afrika.

”Begitu juga masalah sosial dengan menjerat cinta anak gadis Melayu hingga mereka menjadi mangsa jenayah dan keldai dadah,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, tindakan kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai hub pelajaran amat baik namun kerajaan perlu mengawal kemasukan pelajar asing.

“Kemasukan pelajar asing perlu ditepis kerana kita tidak mahu pelajar yang bermasalah datang ke negara kita.

“Pihak universiti dan kolej juga perlu menyemak latar-belakang pelajar itu terlebih dahulu sebelum mengambil mereka,”katanya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Akhbar berkata, sikap tamak dan mahu mengaut keuntungan sesetengah universiti dan kolej swasta juga antara faktor menyebabkan lambakan pelajar asing di negara ini.

“Mereka datang menggunakan visa pelajar tetapi menetap lebih masa dan bekerja di sini. Malah ada yang berani menjalankan perniagaan.

“Sikap materialistik dan tiada pengawasan dari pihak universiti dan kolej menyebabkan masalah ini berlaku. Akhirnya rakyat Malaysia yang menjadi mangsa jenayah mereka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu menetapkan peraturan dan undang-undang yang lebih ketat agar masalah sosial dalam kalangan pelajar asing ini dapat ditangani.

“Pihak berkuasa juga perlu bertindak tegas dan menangkap pelajar asing yang bermasalah dan melanggar undang-undang.

“Kita mahu negara bersih daripada perkara-perkara negatif yang boleh merosakkan rakyat dan negara kita,” katanya.

Untuk mengetahui perbincangan lanjut saksikan Wacana ke-123 esok yang bertajuk ‘Pelajar asing: Kenapa banyak masalah?’ Pada jam 2.30 petang hari ini di Dewan Karangkraf Shah Alam.

Anda juga boleh ikuti secara langsung di Facebook Sinar Harian, Facebook Sinar TV dan YouTube SinarTV.

No Image Caption