Isu perkauman: Pemimpin perlu jadi teladan

Ridzwan Abu Bakar
Ridzwan Abu Bakar
A
A
A

ALOR SETAR - Pemimpin sewajarnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat dalam memupuk keharmonian kaum.

Pengarah Komunikasi Amanah Kedah, Ridzwan Abu Bakar berkata, keharmonian perlu dimulakan oleh pimpinan, kerana tanpanya Malaysia berdepan bahaya dengan isu perkauman dan sensitiviti agama.

Menurutnya, keharmonian tidak mungkin dapat dicapai sekiranya hanya sebelah pihak bertepuk tangan, sebaliknya ia harus disuburkan semua pihak dengan berkongsi hasrat yang sama untuk memelihara perpaduan.

“Kebelakangan ini terdapat pemimpin yang membuat kenyataan berbaur perkauman dan secara tidak langsung cetuskan perbalahan dan ketegangan.

“Kita kesal kerana peringkat atasan tidak menunjukkan teladan yang baik untuk diikuti rakyat,” katanya.

Ridzwan turut meminta mana-mana pemimpin yang terlajak kata menyentuh isu-isu sensitif agar segera menarik 'hand brake' dan menghayati aspirasi kemerdekaan yang bakal menjelang.

“Negara kita unik, menguruskan Malaysia memerlukan ketelitian ketika bertindak untuk memastikan keharmonian kaum dapat dipertahankan. Sejak sekian lama, kita berjaya tangani isu-isu berkaitan perkauman dan keterlampauan dalam agama masing-masing secara berhemah, ini yang harus kita kekalkan,” katanya.

Menurutnya, untuk lebih harmoni, semua pihak perlu saling memahami dan berkorban untuk tanah air.

Artikel Berkaitan:

“Model ‘bersatu dalam kerangka kepelbagaian’ adalah wajah Malaysia. Sementara kita memperakui segala perbezaan antara kita, kita juga sedar keharmonian hidup adalah kunci pengikat antara kaum,” katanya.

Ridzwan berkata, dalam apa jua situasi, kesetiaan kepada tanah air perlu diutamakan tanpa perlu diduakan kepada mana-mana negara lain.