Jalur Gemilang perindah tali air Kampung Gong Baru

Jalur Gemilang dipasang di beberapa lokasi di kampung itu.
Jalur Gemilang dipasang di beberapa lokasi di kampung itu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelbagai cara digunakan masyarakat dalam meraikan sambutan Bulan Kemerdekaan, namun berbeza dengan penduduk Kampung Gong Baru yang memperindahkan tali air kampung itu dengan Jalur Gemilang.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gong Baru, Mohd Hanafiah Ismail berkata, inisiatif itu dibuat memandangkan terdapat tali air sepanjang hampir satu kilometer merentasi kampung itu.

Menurutnya, pemasangan Jalur Gemilang di beberapa lokasi di sepanjang tali air itu sedikit sebanyak menaikkan semangat cintakan negara, di samping menyemarakkan sambutan kemerdekaan.

“Bersempena dengan hari kemerdekaan pada 31 Ogos ini juga, kita akan adakan program ‘Cintailah Tali Air Kita’, yang mana peserta akan berjalan sambil berkain batik di sepanjang tali air.

Hanafiah bersama sebahagian Jalur Gemilang yang dipasang di tali air Gong Baru.
Hanafiah bersama sebahagian Jalur Gemilang yang dipasang di tali air Gong Baru.

“Pada masa yang sama, semua peserta akan mengutip sampah.

"Kita nak penduduk meraikan sambutan hari kemerdekaan dengan cukup bermakna iaitu dengan menjaga kebersihan kampung dan tali air yang menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bilik mesyuarat milik KRT itu telah dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Dr Md Farid Md Rafik baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Dr Md Farid merasmikan bilik mesyuarat milik KRT Gong Baru.
Dr Md Farid merasmikan bilik mesyuarat milik KRT Gong Baru.

Ia bersempena kunjungan pemimpin tersebut ke Gong Baru pada Program Jom Jumpa Rukun Tetangga.

Pada majlis itu juga, KRT Gong Baru memperoleh geran tahunan berjumlah RM10,000 daripada Kasut You bagi membolehkan KRT itu menggerakkan dan menjalankan aktiviti sepanjang tahun.