Sarapan percuma: Jangan berhenti tengah jalan sebab kos

Asril Ariff Abdul Malik, Noorizal Zakaria
Asril Ariff Abdul Malik, Noorizal Zakaria
A
A
A

ALOR SETAR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah berharap program sarapan percuma kepada murid sekolah rendah di seluruh negara yang akan diperkenalkan tahun depan, tidak berhenti di pertengahan jalan kerana ia melibatkan kos tinggi.

Pengerusinya, Asril Ariff Abdul Malik berkata, pihaknya turut bimbang sekiranya terdapat murid yang tidak dapat memberi komitmen hadir lebih awal untuk bersarapan, menyebabkan berlaku pembaziran.

Menurutnya, sehubungan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) harus mencari kaedah terbaik dalam melaksanakan program itu agar memanfaatkan semua pihak.

“KPM harus lakukan kajian secara mendalam berkaitan program ini berdasarkan kepada Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sebelum ini, serta membuat bancian murid yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Asril Ariff berkata, pelaksanaan juga tidak seharusnya membebankan mana-mana pihak.

“Dari aspek ketepatan masa, agar sukar bagi pihak sekolah memastikan murid datang lebih awal untuk mendapatkan makanan percuma itu, mungkin perlu ada kaedah tertentu yang bersesuaian,” katanya.

Sementara itu Pengerusi GPMS Perlis, Noorizal Zakaria menyifatkan pelaksanaan program sarapan percuma itu antara kaedah terbaik membentuk disiplin murid.

“Secara tidak langsung murid akan hadir lebih awal ke sekolah dan lebih bersemangat. Ia juga diyakini dapat memastikan murid memahami kesedaran sivik, selain bantu mengurangkan kos perbelanjaan ibu bapa menyediakan sarapan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia merupakan langkah positif dan pihaknya menyambut baik cadangan KPM itu yang bakal dilaksanakan Januari tahun depan.

Noorizal turut mencadangkan agar KPM mengkaji semula serta membuat penambahbaikan kepada sistem RMT yang dilaksanakan sebelum ini bagi memastikan program baharu ini dinikmati golongan sasar yang sebenar.

“Kami juga berharap pelaksanaan program ini tidak membazirkan wang negara, yang kemungkinan dapat disalurkan kepada penambahbaikan infrastruktur sekolah-sekolah yang daif,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan pelajar kekal sihat dan cergas di samping membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari.

Melalui program sarapan percuma khas untuk anak-anak di sekolah rendah di seluruh negara itu, beliau berkata, anak-anak akan disediakan sarapan enak berpandukan menu sihat dan percuma.

ARTIKEL BERKAITAN: Program sarapan percuma, langkah baik KPM