1,206 calon UPSR Parlimen Jeli terima alat tulis

Abd Rahim (lapan dari kanan) mewakili Mustapa menyerahkan set alat tulis kepada guru- guru besar yang mewakili calon UPSR Parlimen Jeli di sini semalam.
Abd Rahim (lapan dari kanan) mewakili Mustapa menyerahkan set alat tulis kepada guru- guru besar yang mewakili calon UPSR Parlimen Jeli di sini semalam.
A
A
A

JELI - Seramai 1,206 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Parlimen Jeli menerima satu set alat tulis sumbangan daripada Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini semalam.

Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Jeli, Abd Rahim Haron berkata, sumbangan alat tulis berkenaan sebagai motivasi dan semangat kepada semua calon yang bakal menduduki ujian berkenaan bermula 4 September ini.

"Saya diamanahkan untuk menyerahkan sumbangan alat tulis ini kepada semua guru besar di bawah Parlimen Jeli termasuk enam sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tanah Merah yang ada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Bunga.

"Semoga sumbangan ini menjadi pendorong kepada semua calon dan menyedarkan mereka yang bukan sahaja ibu bapa serta guru mengharapkan kecemerlangan mereka, malah Tok Pa (Mustapa) juga ingin melihat kejayaan jadi milik mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, wakil guru besar, Mazniwati Ayob berkata, keprihatinan Tok Pa sebagai Ahli Parlimen terhadap pendidikan anak-anak Jeli sememangnya tidak boleh dipertikaikan.

Beliau yang juga guru besar di Sekolah Kebangsaan Kubur Datu berkata, pelbagai sumbangan diberikan sebelum ini termasuk bantuan pakaian dan beg sekolah selain tuisyen percuma di Darul Falah dan terkini sumbangan alat tulis kepada calon UPSR 2019.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Gemang, Mohamad Shukri Hassan pula berkata, beliau bagi pihak ibu bapa dan calon berterima kasih dan menghargai usaha Tok Pa dalam memastikan semua anak- anak membuat persiapan sebaik mungkin bagi menghadapi hari penting mereka.

"Kami warga pendidikan Parlimen Jeli bagi pihak ibu bapa dan pelajar ucap terima kasih tidak terhingga kepada yang berhormat Datuk Seri (Mustapa) dan sentiasa mendoakan kesejahteraan beliau untuk terus berkhidmat di Parlimen Jeli ini," katanya.

Artikel Berkaitan: