KPKT usaha keluarkan rakyat daripada kemiskinan: Zuraida

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada sidang media sempena Program Kayuhan Wanita 2019 di perkarangan kementeriannya hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pada sidang media sempena Program Kayuhan Wanita 2019 di perkarangan kementeriannya hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Walaupun hasil laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung peratusan kemiskinan Malaysia masih menjadi pertikaian ramai, namun masih boleh dijadikan kayu pengukur dalam usaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangka program-program bagi mengeluarkan rakyat daripada garis kemiskinan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata laporan itu perlu dilihat secara positif kerana jika benar kemiskinan berada pada tahap tinggi, kementerian perlu menggandakan usaha bagi memastikan kaedah atau pendekatan lebih jitu diambil untuk membela golongan berkenaan.

"Tetapi jika dalam kadar kemiskinan lebih rendah, ia juga baik sebab kita tidak perlu memperuntukkan kewangan yang banyak untuk kategori tersebut," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kayuhan Wanita 2019 Semarak Dasar Komuniti Negara di sini hari ini.

Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston baru-baru in dilaporkan berkata kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 tidak realistik, kerana penanda arasnya yang rendah, dan sebaliknya kata beliau kadar kemiskinan yang sebenar di Malaysia adalah lebih tinggi, menjangkau 15 peratus.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali bagaimanapun menolak laporan itu dan mempertahankan kadar kemiskinan yang direkodkan kerana menurutnya Malaysia mengguna pakai standard berdasarkan Canberra Group Handbook on Household Income Statistic, Edisi Kedua (2011) yang diterbitkan PBB untuk mengukur kadar kemiskinan negara.

Zuraida berkata beliau juga bersetuju sekiranya kerajaan berhasrat mengkaji laporan PBB itu untuk dibuat perbandingan.

"Pihak berkenaan harus duduk, kaji semula kedua-dua laporan bagi melihat persamaan yang ada dan dari situ baru boleh tahu peratusan sebenar kadar kemiskinan di Malaysia," katanya.

Mengenai program Kayuhan Wanita yang mengangkat penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin sebagai Ikon Selebriti Kayuhan Wanita, Zuraida berkata ia program pertama di bawah Dasar Komuniti Negara yang menjadikan aktiviti sukan sebagai wadah mewujudkan persekitaran berkualiti dan memperkasa aktiviti komuniti.

Artikel Berkaitan:

Program pada 26 Oktober ini di Monumen Alaf Baru, Putrajaya menyasarkan penyertaan seramai 3,000 peserta untuk berkayuh sejauh 20 kilometer, katanya. -Bernama