Gubal garis panduan pelesenan, kawal operasi pusat refleksologi

Tan Hong Pin
Tan Hong Pin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini, untuk menggubal garis panduan pelesenan dan pengawalan operasi pusat refleksologi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Tan Hong Pin berkata, beliau yakin dan percaya garis panduan jelas daripada pihak PBT dapat memastikan pusat-pusat refleksologi beroperasi mengikut piawaian serta dilaksanakan oleh mereka yang mahir dan memiliki sijil.

"Di samping itu, saya juga yakin garis panduan ini mampu membantu PBT meningkatkan hasil selain melicinkan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan pusat refleksologi.

"Pada akhirnya, saya yakin kita mampu menyelesaikan masalah pusat-pusat refleksologi yang beroperasi tanpa lesen dan mengatasi penyalahgunaan lesen pusat refleksologi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hong Pin berkata, beliau juga percaya langkah pelesenan pusat refleksologi itu mampu memudahkan pemantauan rapi dan penguatkuasaan ketat berlandaskan garis panduan yang diwujudkan kelak.

Bekas Exco Kerajaan Johor itu membuat permohonan sedemikian kerana mendakwa wujudnya banyak pusat refleksologi beroperasi sejak kebelakangan ini, sedangkan PBT telah membekukan lesen berkaitan.

"Saya memahami dan menyambut baik langkah pembekuan tersebut yang bertujuan murni agar lesen berkenaan tidak disalahguna oleh segelintir individu, namun kini semakin merumitkan keadaan.

"Saya berpandangan bahawa pendekatan sebaliknya iaitu dengan meluluskan lesen dilihat dapat menangani masalah ini secara tuntas.

Artikel Berkaitan:

"Pelesenan perniagaan bersifat sensitif pada pandangan masyarakat sebenarnya mampu dikawalselia oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata, peranan kerajaan menerusi PBT bukan sekadar menganugerahkan lesen malah perlu dilengkapi dengan tugas pemantauan rapi dan penguatkuasaan yang ketat.