Skandal 1MDB: Pendakwaan yakin kemuka bukti 21 pertuduhan AMLA

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pendakwaan yakin untuk mengemukakan bukti langsung dan bukti mengikut keadaan pada bahagian akhir kes bagi 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLA) yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram melalui kenyataan pembukaan berkata, sembilan pertuduhan pertama berkaitan dengan penerimaan RM2,081,476,926 yang membentuk subjek kepada pertuduhan pindaan ketiga.

Jelasnya, wang tersebut diterima ke akaun AmIslamic Bank dengan angka akhir 9694.

"Antara 2 Ogos 2013 dan 23 Ogos 2013, tertuduh memindahkan sejumlah RM2,034,350,000 ke Tanore Singapura," ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya tertuduh menggunakan baki sebanyak RM22,649,000 untuk diberikan kepada empat entiti dan seorang individu.

"Pihak pendakwaan menyatakan bahawa semua pembayaran ini memberi faedah kepada tertuduh," kata Sri Ram.

Tambah Sri Ram lagi, selepas membuat pembayaran ini, tertuduh memindahkan baki ke akaun AmBanknya yang baharu dengan angka akhir 1880 dengan melalui dua pindahan berjumlah RM162,436,711.87 dan menutup akaunnya dengan angka akhir 9694.

Bagi pertuduhan ke-10 dan ke-16 enam hingga ke-19 pula, ianya berkaitan dengan pindahan yang dibuat oleh tertuduh kepada Tanore yang melibatkan RM2,034,350,000.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya pertuduhan ke-11 hingga ke-15 pula adalah berhubung pembayaran kepada empat entiti dan satu individu yang dibuat melalui cek yang ditandatangani oleh tertuduh.

Dalam pada itu, Sri Ram berkata, pertuduhan ke-20 dan 21 adalah berhubung pemindahan dana dari akaun 9694 ke akaun 1880.

Pendakwaan akan membuktikan tertuduh melakukan kesalahan penerimaan wang yang bertentangan dengan Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).