Kena berani tegur kesalahan pemimpin: Musa

Musa Hassan (duduk, tiga dari kiri) bersama Mohamed Azam (dua dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan dan pelajar UMP selepas Siri Bicara Cendikiawan Mulia anjuran UMP di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang hari ini.
Musa Hassan (duduk, tiga dari kiri) bersama Mohamed Azam (dua dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan dan pelajar UMP selepas Siri Bicara Cendikiawan Mulia anjuran UMP di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Berani berdepan dan menegur kesalahan yang dilakukan pemimpin juga antara bukti rakyat sayangkan negara, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Musa berkata, rakyat yang menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang- undang juga membuktikan mereka sayangkan negara serta memiliki semangat patriotisme.

Menurutnya, dengan menghafal lagu 'Negaraku' atau mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata belum mampu diiktiraf memiliki semangat patriotisme.

"Tidak ada maknanya jika kita setakat kibarkan Jalur Gemilang atau berkumpul meraikan Hari Kemerdekaan, tetapi akhirnya kita tidak mempunyai rasa hormat kepada Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang di negara ini.

"Seharusnya, setiap orang harus mempunyai rasa berbangga menjadi rakyat Malaysia dan menumpukan sepenuh rasa sayang dan setia kepada negara.

''Kita harus perlu ingat sejarah dalam pembinaan negara ini dan pemimpin yang baik pula tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat keputusan yang boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta agama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Siri Bicara Cendikiawan Mulia anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Dewan Astaka, UMP Kampus Gambang di sini hari ini.

Siri Bicara bertajuk 'Malaysia Baharu: Patriotisme Tulen atau Retorik Politik?' itu dikendalikan Dr Munira Abdul Razak dari Pusat Sains Kemanusiaan UMP sebagai moderator dan turut menampilkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir sama, Naib Canselor UMP, Prof Dr Ir Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Sementara itu, Mohamed Azam ketika sesi ucapan dan soal jawab berkata, semua pihak perlu menghormati prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan mencipta suasana tidak tenteram.

Menurutnya Perlembagaan Negara perlu difahami dan dihayati untuk mengelakkan terjadinya rasa tidak berpuas hati, khususnya membabitkan hubungan antara kaum di negara ini.

"Perlembagaan yang telah terlaksana merupakan dokumen yang berteraskan 'tolak ansur' semua kaum di negara ini dan satu kontrak sosial yang telah dipersetujui.

"Saya tidak faham kenapa semuanya tidak boleh dilakukan ketika ini sedangkan dahulunya, penggunaan (tulisan) Jawi itu sendiri menjadi dokumen asas kepada kemerdekaan negara.

"Inilah masalahnya apabila terdapat pemimpin yang menggunakan pelbagai isu semata-mata hanya untuk meraih sokongan dan sebenarnya perkembangan seperti ini adalah sangat tidak bagus, apatah lagi ketika kita sedang menuju kepada sambutan Hari Kemerdekaan ke-62," katanya.