Sedekah boleh menolak musibah

BIAR kecil nilainya, tetapi jadikanlah sedekah sebagai amalan kita kerana banyak ganjarannya.
BIAR kecil nilainya, tetapi jadikanlah sedekah sebagai amalan kita kerana banyak ganjarannya.
A
A
A

"SEDEKAH tidak akan mengurangkan harta, sebaliknya ia akan membuatkan rezeki kita bertambah".

Ayat itu seringkali kita dengar daripada orang di sekeliling, bukan?

Namun hakikatnya, selain pembuka pintu rezeki, bersedekah sebenarnya dapat menolak musibah kepada kita.

Rasulullah SAW bersabda: "Bersegeralah bersedekah sebab bala bencana tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala dan bencana dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak." (Riwayat al-Baihaqi dan al-Tabarani)

Menurut Ibnu Qayim al-Jauziyah: "ALLAH SWT menolak pelbagai bencana dengan sedekah. Ketentuan ini sememangnya dimaklumi sama ada bagi para ulama ataupun orang awam. Sebab itulah ramai yang mempercayainya kerana mereka telah mencubanya.

"Sedekah memiliki kehebatan yang luar biasa untuk menolak pelbagai bencana meskipun sedekah itu dikeluarkan oleh orang yang fasik, zalim atau kafir."

Subhanallah, begitu besarnya ganjaran yang bakal diperoleh kepada mereka yang gemar bersedekah.

Dalam hal itu, ada satu kisah ketika zaman Nabi Ibrahim AS.

Artikel Berkaitan:

Suatu hari, Malaikat Maut menemui baginda dan bertanya; "Siapa anak muda yang tadi bertamu ke rumahmu?"

Jawab Nabi Ibrahim: "Dia sahabat sekali gus muridku."

Malaikat Maut bertanya lagi: "Apa tujuan kedatangannya menemuimu?"

Lalu Nabi Ibrahim berkata: "Dia mengutarakan niatnya akan bernikah esok pagi."

Namun, Malaikat Maut membalas: "Sayang sekali ya, usia anak muda itu tidak akan sampai esok pagi."

Lantas malaikat itu segera meninggalkan Nabi Ibrahim.

Namun, keesokan harinya, baginda AS masih melihat dan menyaksikan pernikahan anak muda berkenaan.

Bahkan, usia lelaki itu mencecah sehingga 70 tahun!

Lalu baginda bertanyakan hal itu kepada Malaikat Maut dan ia menjawab: "Wahai Ibrahim, pada malam menjelang pernikahannya, anak muda tersebut menyedekahkan separuh daripada kekayaannya. Dan ini yang membuatkan ALLAH SWT memutuskan untuk memanjangkan umur anak muda tersebut hingga engkau masih melihatnya hidup."

Betapa hebatnya kuasa sedekah.

Ayuh, kita amalkan sedekah dalam kehidupan kita.

Biar kecil nilai yang diberikan, asalkan ikhlas dan hanya mengharapkan balasan daripada ALLAH SWT semata-mata.

(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)