Mahkamah tolak rayuan Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan semula saman beliau yang memohon perisytiharan untuk membatalkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi yang mempengerusikan panel tiga hakim menegaskan bahawa dapatan oleh RCI tidak boleh untuk dicabar.

Beliau berkata, apa yang dicabar oleh Dr Mahathir adalah dapatan oleh RCI itu sendiri seperti yang terkandung dalam laporan RCI.

Sehubungan itu, Hakim Ahmadi berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan RCI membabitkan klip video kontroversial seorang bekas peguam, Datuk V.K. Lingam, terpakai dalam kes Dr Mahathir.

Pada 2011, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa dapatan RCI dalam kes klip video Lingam tidak boleh disemak semula kerana pesuruhjaya hanya membuat penemuan dan bukannya keputusan.

Hakim Ahmadi yang bersidang bersama Hakim Datuk Lau Bee Lan dan Datuk Has Zanah Mehat berkata Seksyen 22 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 memperuntukkan budi bicara yang meluas kepada RCI untuk mengawal selia urusannya dan prosedurnya sendiri, termasuk mengumpul laporan serta peraturan untuk laporan itu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kami juga berpendapat bahawa bukanlah peranan mahkamah ini untuk memberitahu RCI bagaimana untuk mengendalikan urusannya," katanya.

Panel itu mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Dis 2018 untuk membatalkan saman pemula Dr Mahathir yang memohon perisytiharan bahawa laporan RCI mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh BNM adalah tidak sah, tidak lengkap dan cacat kerana ia tidak memasukkan dokumen undang-undang saksi, nota prosiding dan hujahan lisan.

Artikel Berkaitan:

Dalam saman yang difailkan pada Disember 2017, Dr Mahathir turut memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa sebarang laporan oleh RCI yang diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan akan hanya menjadi sah sekiranya ia mengandungi kenyataan bertulis oleh saksi yang memberi keterangan dalam prosiding, selain nota prosiding dan hujahan.

Beliau menamakan Pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sidek Hassan, anggota suruhanjaya itu terdiri daripada Datuk Wira Kamaludin Md Said, Datuk Seri Tajuddin Atan, Tan Sri Saw Choo Boon, K.Pushpanathanan dan Datuk Dr Yusof Ismail, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, anggota kabinet serta kerajaan, sebagai defendan dalam saman itu.

Sebelum itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Dr Mahathir, berkata anak guam beliau bukan memohon untuk membatalkan dapatan RCI, sebaliknya mahu perisytiharan bahawa laporan itu hanya akan lengkap dan sah sekiranya ia mengandungi dokumen yang berkaitan.

Bagaimanapun, peguam kanan persekutuan Mazlifah Ayob, yang mewakili responden, berhujah bahawa jika laporan RCI diisytiharkan batal dan tidak sah, dapatan dan syor RCI juga akan diisytiharkan batal dan tidak sah, oleh itu, keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas dapatan RCI berhubung klip video Lingam turut terpakai dalam kes Dr Mahathir. - Bernama