X

Kindly register in order to view this article
!

Guna bom air untuk operasi pemadaman

Mohd Faizul (kiri) memberi penerangan operasi kepada anggota yang terlibat.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kaedah bom air akan digunakan selepas tinjauan udara di kawasan kebakaran di Kampung Pekajang dekat Gelang Patah.

Tinjuan kedua itu bagi memastikan kesesuaian kaedah tersebut untuk operasi pemadaman.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba I, Mohd Faizul Selamat bagaimanapun berkata, operasi menggunakan bom air perlu mengambil kira lokasi perumahan, kilang serta pencawang elektrik dan telekomunikasi di kawasan berhampiran.

Menurut Mohd Faizul, pihaknya sedang berusaha mendapatkan bantuan pasukan unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang bagi membuat tinjauan udara di kawasan kebakaran.

"Sehingga hari kelapan kita masih meneruskan kerja-kerja pemadaman dengan membuat benteng air," katanya pada sidang media di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang hari ini.

Beliau berkata, bomba berjaya memadam kira-kira 75 peratus daripada seluruh kawasan yang terbakar iaitu 16.18 hektar sehingga jam 2.30 petang semalam.

Katanya, teknik pemecah kebakaran atau 'fire breaker' dan total flooding akan dilakukan jika kaedah bom air tidak berjaya.

"Kaedah total flooding bertujuan membanjirkan kawasan kebakaran kerana air akan meresap ke dalam tanah. Antara kesukaran yang dihadapi ialah terpaksa berjalan sejauh dua kilometer sebelum operasi pemadaman.

"Seramai 140 anggota bertugas membabitkan pelbagai agensi yang mana mereka bertugas 24 jam secara bergilir dalam operasi ini," katanya.

Kawasan berkenaan dilaporkan terbakar sejak 21 Ogos lalu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!