Suami isteri aktif mencuri dicekup

Mohd Said (dua dari kiri) menunjukkan barangan curi yang berjaya dirampas daripada suspek.
Mohd Said (dua dari kiri) menunjukkan barangan curi yang berjaya dirampas daripada suspek.
A
A
A

SEREMBAN - Baru setahun keluar daripada penjara, seorang wanita ditahan semula bersama suaminya selepas dipercayai terlibat dalam kejadian curi barangan jemaah di surau sekitar pasar raya di Seremban dan Nilai.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisoner, Mohd Said Ibrahim berkata, perbuatan suspek berusia 39 dan 35 tahun ini dilakukan sejak dua bulan lalu melibatkan kerugian bernilai RM19,000.

"Suspek ditahan polis di kediaman mereka dekat Senawang jam 4 petang pada 21 Ogos lalu setelah didakwa terlibat dalam sembilan kes curi iaitu lapan kes di Seremban dan satu di Nilai.

"Berdasarkan siasatan, modus operandinya, wanita ini akan menyelinap masuk ke ruangan solat ketika jemaah surau sedang mengambil wuduk manakala suaminya akan mengawasi keadaan sekitar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban hari ini.

Katanya, barangan yang disasarkan adalah barangan yang mudah dijual semula di kedai barangan terpakai antara telefon bimbit, komputer riba, telekung, tudung, power bank, beg tangan juga wang tunai.

"Setakat ini, terdapat sebuah kedai telefon bimbit di Semenyih, Selangor yang dikenal pasti menjadi lokasi suspek menjual barangan curi bagaimana pun kita akan kesan jika terdapat kedai lain.

"Sesiapa yang membeli barangan curi akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barangan curi, jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Said berkata, hari ini suspek di serahkan ke IPD Nilai untuk siasatan lanjut berhubung kejadian curi di daerah itu dan kes disiasat Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Hasil siasatan lanjut pula mendapati suspek pernah melakukan jenayah sama sebanyak 13 kali dan keluar penjara pada 11 Ogos tahun lalu bersabit jenayah curi manakala suaminya mempunyai rekod jenayah narkotik dan curi," katanya.