Lakukan amal soleh, jangan syirikkan ALLAH

AYUH golongan muda mengisi kemerdekaan negara dengan berpandukan al-Quran. -Gambar hiasan
A
A

PADA minggu lalu, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail telah berkongsi ilmu tadabbur 10 ayat pertama Surah Al-Kahf menerusi artikel bertajuk Pesan Kemerdekaan Surah Al-Kahf.

Ayat-ayat berkenaan juga bakal bergema dan menjadi pengisian pada program Malaysia #QuranHour di lokasi perdana, Masjid Putra, Putrajaya pada hari ini.

Menyambung penulisan yang disiarkan pada minggu lalu, Fazrul mengajak kita untuk meneleliti 10 ayat terakhir dalam Surah al-Kahf yang menjadi 'cermin' kepada 10 ayat terawal surah berkenaan.

Jelas beliau, ayat 100 dalam surah ke-18 itu menjelaskan ayat 10 dan 11 yang mana ALLAH memperlihatkan neraka jahanam dengan jelas pada hari akhirat kepada orang kufur.

"Sekiranya kemerdekaan Malaysia diisi dengan iman, amal soleh dan islah iaitu memperbaiki secara berterusan oleh rakyatnya, negara akan terus bahagia dan aman. Oleh itu, kita perlu menguruskan cabaran akhir zaman dengan baik untuk mengelakkan azab di dunia dan akhirat.

"Pada ayat 101, ALLAH menyatakan orang yang mata hatinya tertutup daripada melihat tanda-tanda kebesaran ALLAH SWT, bahkan mereka juga tidak mendengar daripada perkara yang mengingati ALLAH,” katanya ketika berkongsi ilmu pada Majlis Taklimat Sinergi Media di Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Shah Alam di Selangor baru-baru ini.

Futuristik

Fazrul menambah, Surah al-Kahf menceritakan orang yang tidur seperti sehari, tetapi sebenarnya mencapai 309 hari!

Ujar beliau, surah tersebut sebenarnya menyentuh perkara masa hadapan atau futurisitik. Jika masa hadapan tanah air 'diisi' dengan orang yang bersikap tidak ambil peduli dan tidak ingat Tuhan, maka kesan jangka masa panjang akan wujud negara whatever culture dan me is everything.

"Ayat 102 dalam Surah al-Kahf menceritakan orang kafir yang mengambil makhluk lain untuk disembah selain ALLAH bagi menolong mereka. Itulah cabaran akhir zaman apabila mereka lebih mengutamakan idea manusia berbanding ALLAH. Mereka ialah golongan paling rugi dalam perbuatannya sebagaimana disebut dalam ayat 103.

"Mereka yang berasa diri, idea, strategik dan tindakannya bagus sebenarnya mengambil masa yang panjang serta perancangan yang panjang untuk mencapai kedudukan tersebut. Berdasarkan ayat 104, itu semua hanya sia-sia jika tidak berpaksikan kepada panduan ALLAH. Ia ibarat kambing yang gemuk, tetapi makan rumput beracun," jelasnya.

Ujar beliau, dalam ayat 105 pula, ia memperihalkan tentang orang yang berasa dirinya banyak amal, tetapi mengingkari ayat-ayat ALLAH dan tidak mempercayai hari akhirat.

"Maka sia-sia amalnya. Itulah panduan yang ALLAH berikan dalam Surah al-Kahf kerana kufur kepada kebesaran ALLAH SWT,” katanya.

Cabaran merdeka

Fazrul meneruskan perkongsian ilmunya mentadabbur Surah al-Kahf. Kali ini, beliau mentadabbur ayat 106 yang mana orang kufur suka menutup kebenaran dengan memperolok-olok al-Quran dan mengejek para rasul.

"Mereka ialah golongan yang tidak merdeka di dunia dan di akhirat," katanya.

Dalam ayat 107 dan 108, kata Fazrul, bagi orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan mendapat ganjaran syurga Firdaus sebagai tempat tinggal yang kekal di dalamnya. Ayat tersebut menunjukkan ALLAH memberi panduan kepada kita untuk mencapai kemerdekaan.

"Untuk menjadikan Malaysia sebagai negara merdeka yang lebih baik, rakyat perlu memperkukuhkan iman, tingkatkan amal soleh dan terus memperbaiki ke arah kebaikan. Hasilnya, ia membawa kemerdekaan dan kebahagian hidup kita di dunia dan di akhirat dengan bantuan dan panduan daripada ALLAH SWT.

"Merujuk ayat 109 pula, al-Quran sebagai panduan yang tiada batasan perlu dipasakkan ke dalam diri kita dan keluarga. Apabila kita kembali kepada kalimah ALLAH SWT, inilah yang membantu kita dalam menghadapi badai kehidupan,” ujarnya.

ALLAH SWT berfirman: "Katakanlah (Muhammad), sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang telah menerima wahyu, bahawa sesungguhnya Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa." Maka sesiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia melakukan kebaikan dan jangan menyekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya." (Surah al-Kahf, ayat 110)

Pesan Kemerdekaan hasil rumusan daripada Surah al-Kahf, Fazrul berkata, dua transformasi perlu dilakukan iaitu amal soleh dan tidak mensyirikkan ALLAH. Dengan mengambil panduan daripada al-Quran, semoga Malaysia baharu terus maju.

"Bersama semangat kemerdekaan, kita akan bertemu dengan bulan Muharam, bulan hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah.

"Kita boleh mengambil pedoman daripada sirah Rasulullah SAW dengan berhijrah untuk berubah dan mengubah sesuatu keadaan yang lebih dan membina kekuatan baharu," katanya.