Genius bimbang desas-desus 11 IPG akan ditutup

Mohd Aziz bimbang dengan desas-desus 11 IPG akan ditutup.
Mohd Aziz bimbang dengan desas-desus 11 IPG akan ditutup.
A
A
A

BESUT - Gabungan Intelektual Pendidik Guru SeMalaysia (Genius) memandang serius desas-desus mengatakan sebanyak 11 buah lagi Institut Pendidikan Guru (IPG) akan ditutup selepas ini.

Presidennya, Dr Mohd Aziz Mohd Din berkata, perkembangan terbaru itu amat meresahkan warga IPG seluruh negara malah rakyat negara ini.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan IPG telah menerima arahan daripada pengurusan tertinggi di luar Kementerian Pendidikan yang mencadangkan 11 IPG ditutup kemudiannya dijadikan Institut Latihan Awam (ILA) atau dijual.

“Arahan sedemikian dikeluarkan dengan alasan masalah kewangan pengurusan yang ditanggung kerajaan.

“Rancangan ini akan menyebabkan akan hanya tinggal enam buah sahaja yang kekal di seluruh negara bagi melaksanakan program-program ikhtisas bersama dengan 10 IPG lagi yang melaksanakan program co-exit.

“Manakala latihan perguruan selepas itu dicadangkan dilaksanakan di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA),” kata bekas Pengarah IPG Kampus Sultan Mizan, di sini kepada Sinar Harian.

Mohd Aziz berkata lagi, sekiranya cadangan ini benar akan dilaksanakan, Genius menjangkakan IPG akan bergolak semula seperti yang berlaku ketika kerajaan terdahulu mengumumkan akan menutup 10 buah IPG untuk ditukar kepada kolej vokasional (KV) dan juga politeknik.

Menurutnya, bagaimanapun hasil memorandum dihantar pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan termasuk Genius, pemimpin politik, kerajaan negeri dan masyarakat setempat kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan akhirnya beliau mengumumkan 10 IPG tidak ditutup dan ia wujud secara co-exit bersama KV dan politeknik pada akhir 2018.

Artikel Berkaitan:

“Maszlee juga mengatakan tidak ada mana-mana IPG akan ditutup lagi daripada baki 17 buah selepas 10 buah dijadikan co-exit itu namun apa yang bakal berlaku sebaliknya,” katanya.

Mohd Aziz berkata lagi, Genius tertanya apakah agenda kerajaan di sebalik cadangan penutupan terbaru itu kerana seolah-olah tidak ada kaedah lain yang boleh dilakukan kerajaan.

“Apakah ini satu-satunya cara yang ada untuk menghadapi masalah kewangan bagi mengurus IPG?

“Saya percaya banyak lagi pilihan yang boleh difikirkan sebagai menghormati IPG sebagai sebuah institusi yang telah berjasa besar kepada negara,” katanya.

Tambahnya, maktab perguruan telah berkembang daripada menghasilkan guru-guru peringkat sijil perguruan semenjak tahun 50-an yang dibangunkan pemimpin terdahulu kepada melahirkan guru-guru diploma dan sekarang guru-guru peringkat ijazah sarjana muda.

Malah Mazslee sebelum ini mengumumkan menjadikan IPG untuk melahirkan guru-guru di peringkat ijazah sarjana.

Menurut Mohd Aziz, malangnya tiba-tiba heboh mengatakan ada cadangan untuk ditutup, dijual begitu sahaja oleh kerajaan hari ini.

“Sehubungan itu Genius meminta kerajaan mengkaji semula cadangan tersebut dan ia dibatalkan kerana ia memberi kesan mendalam kepada pelbagai pihak khususnya pendidikan negara,” katanya.