FAMA Kedah bantu pengguna jimat belanja

Zamri (dua dari kiri) melakukan gimik perasmian Majlis Pelancaran Program Jualan Jimat Belanja Ambang Merdeka@Pasar Tani Peringkat Kedah 2019 di Pasar Tani Taman Wira Mergong di sini hari ini.
Zamri (dua dari kiri) melakukan gimik perasmian Majlis Pelancaran Program Jualan Jimat Belanja Ambang Merdeka@Pasar Tani Peringkat Kedah 2019 di Pasar Tani Taman Wira Mergong di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kedah menawarkan penjimatan perbelanjaan harga jualan barangan keperluan sebanyak lima ke 20 peratus menerusi Jualan Jimat Belanja Ambang Merdeka@Pasar Tani Peringkat Kedah 2019.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti, Datuk Zamri Yusof berkata, program jualan jimat belanja itu diadakan bermula 25 Ogos hingga 30 Ogos dari 7 pagi hingga 1 petang di 10 pasar tani terlibat di seluruh Kedah.

Beliau yang juga Exco Kerja Raya, Tenaga dan Bekalan Air dan Sumber Air berkata, orang awam masih berpeluang untuk mendapatkan barang keperluan pada harga lebih rendah dan terkawal di tiga lokasi terakhir.

"Aneka barangan segar dari ladang boleh diperoleh di Pasar Tani Pacific Alor Setar pada 29 Ogos manakala, keesokan harinya di Pasar Tani Kekal Changlun dan Pasar Tani Kekal Guar Chempedak.

"Jualan barangan keperluan itu melibatkan usahawan pemasar Pasar Tani FAMA, Industri Asas Tani (IAT) FAMA, ladang kontrak FAMA, Syarikat Ayam Bismi dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Jualan Jimat Belanja Ambang Merdeka@Pasar Tani Peringkat Kedah 2019 di Pasar Tani Taman Wira Mergong di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah FAMA Kedah, Isa Hamzah.

Zamri berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif FAMA dalam merealisasikan harga kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup rakyat menerusi program seumpama itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usaha FAMA berkenaan dilihat membantu meringankan bebanan golongan berpendapatan rendah di bandar dan pinggir bandar terutamanya kumpulan B40 untuk mendapatkan barang keperluan mereka.

"Kita berharap program seumpama itu termasuklah yang tidak bermusim diperbanyakkan. Jadi, apabila orang awam bercakap tentang barangan murah, maka mereka akan terkenang pasar tani," katanya.

Sehingga Jun 2019, nilai jualan sebanyak RM28.7 juta telah dijana melalui operasi Pasar Tani Negeri Kedah yang disertai 2,274 peserta di seluruh negeri ini.

Terdahulu, beliau bersama kakitangan FAMA melakukan lawatan ke Gerai Jualan Usahawan dan menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada peniaga.