Maqis rampas biji koko berulat dari Nigeria

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas biji koko bernilai RM3 juta yang dibawa masuk dari Nigeria di Pelabuhan Tanjung Pelepas di sini pada 19 Ogos lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Maqis berkata, biji koko seberat 253,170 kilogram itu ditemui di dalam 10 buah kontena.

“Hasil pemeriksaan lanjut oleh pegawai Maqis mendapati kontena yang membawa biji koko tersebut turut mengandungi ulat dan serangga perosak.

“Pemeriksaan ketat di pintu masuk negara bagi mengesan kemasukan keluaran pertanian dilakukan secara berterusan bagi menjaga biosekuriti dan keselamatan makanan dalam negara bagi memastikan tiada penyakit dan perosak masuk dan merosakkan industri tanaman serta menjejaskan ekonomi negara,” kata jabatan itu lagi.

Kes disiasat dibawah Seksyen 14, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah akta yang sama, iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Sementara bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: