PM, Kabinet Thailand 'angkat sumpah' sekali lagi

Majlis angkat sumpah di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn pada bulan lalu didakwa tidak membacakan ayat lengkap seperti terkandung dalam Perlembagaan.
Majlis angkat sumpah di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn pada bulan lalu didakwa tidak membacakan ayat lengkap seperti terkandung dalam Perlembagaan.
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha dan Kabinet beliau 'memperbaiki' bacaan angkat sumpah di Rumah Kerajaan di ibu negara semalam selepas mereka didakwa melanggar Perlembagaan kerana gagal membaca sumpah setia penuh ketika pada bulan lalu.

Bekas ketua tentera itu bersama 35 menteri Kabinet mengangkat sumpah di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn dalam sebuah majlis di Ambara Villa di Istana Dusit pada 16 Julai lalu, namun tidak menyatakan ayat terakhir untuk menegakkan dan mematuhi Perlembagaan.

"Perdana Menteri tidak membacakan ayat yang ditetapkan seperti terkandung dalam Perkara 161 Perlembagaan. Jadi, upacara angkat sumpah itu tidak lengkap," kata Setiausaha Agung Pejabat Ombudsman, Raksagecha Chaechai.

Jelasnya, Mahkamah Perlembagaan akan memutuskan langkah yang perlu dilakukan memandangkan sumpah tidak lengkap bermakna segala tindakan kerajaan dianggap sebagai tidak berperlembagaan.

Prayut membatalkan Perlembagaan sebelum ini ketika beliau merampas kuasa pada 2014 dan piagam terbaharu turut memberi peranan penting dalam politik kepada tentera yang mengecewakan aktivis prodemokrasi.

Pada 8 Ogos lalu, beliau menyatakan akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara itu dan memohon maaf serta memberi jaminan kerajaan akan berfungsi seperti biasa.

Langkah mengangkat sumpah semula itu dibuat selepas Prayut menerima mesej bertulis daripada Raja Maha Vajiralongkorn yang menggalakkan kerajaan untuk melakukan tugas mereka dengan betul dan secara baik. - Agensi

Artikel Berkaitan: