Sila log masuk terlebih dahulu.

SMK Tanjung Adang, SK Tanjung Adang dibuka hari ini

Pelajar kelas Sains Rumah Tangga memakai penutup hidung dan mulut ketika menjalankan aktiviti di kantin SMK Tanjung Adang.
Pelajar kelas Sains Rumah Tangga memakai penutup hidung dan mulut ketika menjalankan aktiviti di kantin SMK Tanjung Adang.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Dua buah sekolah yang diarahkan ditutup berikutan kualiti udara tidak sihat berikutan berlaku kebakaran di Kampung Pekajang dekat Gelang Patah di sini dibuka semula hari ini.

Ia melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Adang, Gelang Patah yang diarahkan tutup selama dua hari sejak kelmarin.

Pengetua SMK Tanjung Adang, Noor Hafizah Abd Wahab berkata, pelajar dan guru akan diarahkan memakai penutup mulut dan hidung jika asap kebakaran dibawa angin ke kawasan sekolah.

"Buat masa ini, semua aktiviti luar ditangguhkan sementara waktu sehingga keadaan selamat.

"Pelajar yang mengalami masalah pernafasan juga akan diminta tidak datang ke sekolah jika tidak sihat.

"Ini bagi mengelakkan kesihatan mereka terjejas," katanya.

Noor Hafizah berkata, bagaimanapun, keadaan kualiti udara hari ini juga lebih baik berbanding Ahad dan Isnin lalu.

"Asap atau jerebu sudah berkurangan berbanding kelmarin apabila asap dan jelaga kebakaran memenuhi kawasan sekolah, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, para pelajar SMK Tanjung Adang mula hadir ke sekolah sejak jam 7 pagi lagi.

Mereka yang hadir turut menerima penutup hidung dan mulut yang diserahkan guru di pagar sekolah sebagai langkah berjaga-jaga.