Pasukan khas jaga kebersihan Kuantan

Sharudin (tiga dari kiri) diiringi Abdul Rahim (dua dari kiri) melepaskan anak ikan di Tasik Bandar sebagai gimik perasmian Program Pelancaran Pasukan Task Force Kebersihan Kuantan di taman tersebut, di sini hari ini.
Sharudin (tiga dari kiri) diiringi Abdul Rahim (dua dari kiri) melepaskan anak ikan di Tasik Bandar sebagai gimik perasmian Program Pelancaran Pasukan Task Force Kebersihan Kuantan di taman tersebut, di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang menubuhkan 'Task Force' melibatkan beberapa agensi kerajaan dan swasta dalam memastikan bandar Kuantan sentiasa dalam keadaan bersih.

Pasukan tersebut turut mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuantan, Alam Flora Sdn Bhd, Roadcare Sdn Bhd dan YP Maintenance Sdn Bhd.

Pengarahnya, Sharudin Hamid berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan pada setiap Selasa bagi membincangkan isu berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di daerah ini melibatkan agensi-agensi tersebut.

"Kita akan mengadakan mesyuarat 'War Room' bagi menyelaraskan kerja-kerja yang melibatkan skop berbeza antara agensi dan penyelesaian isu pembersihan jalan-jalan JKR di bandar.

"Kita juga turut melakukan penyelarasan pertindihan jadual kerja dan kerjasama strategik dalam pelaksanaan program-program CSR kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan pelancaran Pasukan Khas 'Task Force' Kebersihan Kuantan di Taman Bandar, Indera Mahkota, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan negeri, Abdul Rahim Muda yang turut merasmikan program tersebut.

Sharudin berkata, dengan tertubuhnya pasukan berkenaan, pihaknya berharap aspek penjagaan kebersihan alam sekitar dapat dilaksanakan secara efektif dan holistik.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurutnya, jalan-jalan utama dan kawasan yang menjadi tumpuan utama masyarakat khususnya pelancong merupakan fokus utama bagi menampilkan imej positif terhadap kebersihan bandar Kuantan.

"Kita juga akan bertindak di atas laporan orang awam dan akan melakukan pembersihan yang mungkin akan melibatkan penduduk setempat bagi memastikan ia sentiasa bersih dan (pencemaran) tidak berulang kali.

"Kali ini, kita akan memastikan kawasan yang kita lakukan pembersihan tidak hanya bersih pada hari kita lakukan pembersihan, namun kita mahukan ia kekal bersih pada setiap masa," katanya