Guru bahasa Inggeris mengaku tak salah cabul remaja

Ann Loke (tengah) menutup mukanya bagi mengelak wajahnya dirakam media.
A
A

PUTRAJAYA - Seorang guru sekolah menengah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya hari ini atas tuduhan mencabul seorang remaja, April lalu.

Berdasarkan pertuduhan, Lee Ann Loke, 29, yang mengajar bahasa Inggeris didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan menggeselkan kemaluannya terhadap kemaluan mangsa yang berusia 13 tahun 9 bulan bagi tujuan seksual.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya jam 10.30 pagi pada 5 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazlina Razali manakala Ann Loke diwakili peguam Syazwan Hasan.

Hakim, Yong Zarida Sazali membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 September depan sebagai sebutan kes.