Pasang bendera terbalik: Pahang kaji semula kompaun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan mengkaji semula kadar kompaun bagi kesalahan memasang bendera dalam keadaan tidak sempurna berikutan kadar sedia ada terlalu rendah.

Exco Perumahan dan Kerajaan negeri, Abdul Rahim Muda berkata, penelitian terperinci harus dilakukan disebabkan denda tersebut sudah termaktub dalam peruntukan undang-undang.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri dalam masa terdekat bagi mencadangkan jumlah kompaun yang lebih bersesuaian dengan kesalahan berkenaan.

"Perkara untuk menaikkan kadar kompaun tersebut kita perlu lakukan perbincangan dalam mesyuarat dan jika ia diluluskan, kita perlu juga lakukan semakan kerana peruntukan undang-undang membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum melaksanakannya.

"Ia membabitkan peruntukan undang-undang di peringkat Persekutuan kerana semua PBT menggunakan atau mengenakan kadar kompaun yang sama.

"Memang kita menyedari jumlah kompaun RM500 yang dikenakan sekarang boleh dikatakan agak rendah jika dibandingkan dengan kesalahan dilakukan pemilik premis tapi ia perlu dibincangkan dengan teliti dan banyak aspek perlu diambil kira," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Pelancaran Pasukan Khas 'Task Force' Kebersihan Kuantan di Taman Tasik Bandar, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) negeri, Sharuddin Hamid dan Setiausaha Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamiza Hamzah.

Artikel Berkaitan:

Abdul Rahim mencuba membawa jentera itala untuk membersihkan sampah ketika gimik perasmian Program Pelancaran Pasukan Khas di Taman Bandar, Indera Mahkota, di sini hari ini.
Abdul Rahim mencuba membawa jentera itala untuk membersihkan sampah ketika gimik perasmian Program Pelancaran Pasukan Khas di Taman Bandar, Indera Mahkota, di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai komen netizen yang menganggap kadar kompaun RM500 dikenakan MPK terhadap pemilik premis dekat Sungai Isap yang memasang bendera Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik baru-baru ini, terlalu rendah.

Terdahulu, pemilik premis yang telah memasang bendera Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik sudah dikenakan kompaun mengikut Akta Kerajaan Tempatan 171 (1976).

Sementara itu, Hamiza berkata, kadar kompaun RM500 itu adalah maksimum dan mungkin boleh disemak semula dalam memastikan pemilik premis lebih peka dengan cara pemasangan bendera Jalur Gemilang atau bendera negeri yang betul.

"Perkara ini perlu dibincangkan melalui kerajaan negeri dan sebarang cadangan atau keputusan perlu dibawa kepada perhatian (kerajaan) Persekutuan kerana ia membabitkan pindaan dalam akta PBT seluruh negara," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu kes pasang Jalur Gemilang terbalik dikesan di Kuantan