TDM catat pendapatan RM99.5 juta

Raja Idris Raja Kamarudin
Raja Idris Raja Kamarudin
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad mengumumkan pendapatan kumpulan itu meningkat sebanyak 2 peratus iaitu RM99.5 juta bagi suku kedua berakhir pada 30 Jun tahun ini.

TDM Berhad dalam satu kenyataan kepada media berkata, kedudukan kewangan kumpulan itu berada pada posisi yang sihat berdasarkan peningkatan itu berbanding RM97.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Manakala pelarasan Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (EBITDA) yang direkodkan bagi separuh tahun pertama 2019 adalah berjumlah RM32.4 juta berbanding dengan separuh tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM34 juta.

Berdasarkan kepada prestasi, sektor penjagaan kesihatan TDM Berhad terus kukuh pada separuh tahun pertama dengan pendapatan meningkat sebanyak 16 peratus dan jumlah pelarasan EBITDA juga turut meningkat sebanyak 61 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Walau bagaimanapun, perniagaan perladangan kumpulan itu terkesan dengan penurunan harga minyak sawit yang menyebabkan ianya berada di bawah tekanan bagi separuh tahun pertama 2019 memandangkan ketidakstabilan musim dan stok minyak sawit.

Bahagian perladangan juga mencatatkan pendapatan yang rendah bagi separuh tahun pertama 2019 iaitu sebanyak 21 peratus, berkemungkinan besar disebabkan penurunan harga Minyak Sawit Mentah (CPO) dan juga Isirong Sawit (PK) iaitu masing-masing sebanyak 18 peratus dan 42 peratus.

Bagaimanapun, terdapat peningkatan pada separuh tahun pertama 2019 dari segi harga minyak sawit iaitu CPO dan juga PK sebanyak 16 peratus dan 8 peratus berbanding separuh tahun sebelumnya.

Bahagian perladangan menunjukkan pelarasan EBITDA sebanyak RM15.0 juta sepanjang tempoh tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi TDM, Datuk Raja Idris Raja Kamarudin berkata, pihaknya akan terus melancarkan Rancangan Penciptaan Nilai (VCP) untuk mengukuhkan lagi platform bagi pertumbuhan yang mampan dalam jangka masa panjang.

Dengan pelaksanaan VCP ini, beliau berharap dapat mencapai pelarasan EBITDA lebih baik berbanding tahun lalu.

“Kami juga telah menjalankan beberapa pendekatan VCP yang sama bagi operasi di Kalimantan.

“Walaupun kami memperoleh hasil lebih rendah bagi separuh tahun pertama 2019, sebahagian daripada VCP operasi kami di Kalimantan berada di landasan yang tepat bagi mencapai 'target' pemulihan yang telah kami sasarkan bagi tahun 2019,” katanya.

Disebabkan persaingan kuat dan juga situasi tidak dapat dijangka, TDM Berhad telah mengambil langkah optimis mengekalkan kestabilan prestasi di bahagian operasi bagi kewangan tahunan 2019.

Kumpulan itu juga akan memberi fokus dalam mengoptimumkan kos pengeluaran, meningkatkan produktiviti operasi dan memulihkan pengeluaran yang mampan, sekali gus meningkatkan keuntungan pada permintaan masa hadapan di bahagian perladangan dan juga bahagian penjagaan kesihatan.