Jangan abaikan restu ibu bapa

PATUHILAH segala arahan ibu bapa kita selagi ia tidak bertentangan dengan syarak dan dapatkanlah restu mereka sekiranya kita ingin melakukan sesuatu perkara.
PATUHILAH segala arahan ibu bapa kita selagi ia tidak bertentangan dengan syarak dan dapatkanlah restu mereka sekiranya kita ingin melakukan sesuatu perkara.
A
A
A

KETIKA menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi, berapa ramai antara kita yang tidak berhadapan dengan kekangan kewangan?

Jawapannya ada pada diri kita sendiri, namun kebanyakan mahasiswa akan mengambil pinjaman atau memohon tajaan biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Ini kerana kosnya agak tinggi, apatah lagi jika kita datang daripada keluarga yang susah, cukup-cukup makan atau sederhana.

Meskipun meminjam wang daripada institusi tertentu atau mendapat biasiswa, namun adakalanya kita 'terputus' duit kerana lambat masuk.

Malah, kadangkala wang berkenaan juga tidak cukup menampung perbelanjaan sepanjang pengajian yang membuatkan kita jadi buntu meneruskan kelangsungan hidup.

Jadi, sebagai penyelesaiannya, ada segelintir mahasiswa yang bekerja sampingan sambil belajar.

Namun, mereka perlu bijak mengurus masa belajar, membuat tesis dan bekerja dengan sebaiknya.

Persoalannya, bagaimana jika kita tidak mendapat restu ibu bapa untuk bekerja sambilan sambil belajar?

Artikel Berkaitan:

Adakah duit hasil kerja kita itu tidak berkat? Adakah perbuatan itu boleh dianggap menderhaka kerana melanggar arahan ibu bapa supaya hanya belajar dan tidak melakukan kerja sampingan lain?

Sebelum menjawab soalan berkenaan, kita perlu fahami dulu tanggungjawab sebagai seorang anak iaitu wajib patuh dan taat kepada ibu bapa.

Pada masa sama, anak juga wajib membuat ibu bapa mereka gembira dengan mendapatkan keredaan daripada kedua-dua orang tua kita.

Rasulullah SAW bersabda: "Reda ALLAH SWT bergantung kepada reda kedua-dua ibu bapa dan murka ALLAH SWT bergantung kepada murka kedua ibu bapa." (Riwayat Hakim)

Justeru, bagi mengelakkan diri dianggap sebagai anak derhaka, kita perlulah menurut arahan kedua orang tua kita selagi mana ia tidak bertentangan dengan syarak.

Namun, jika tetap ingin meneruskan kerja sampingan itu, dapatkanlah dahulu keizinan ibu bapa kita agar rezeki yang diperoleh diberkati.

Bagaimanapun, jika keadaan ekonomi begitu mendesak, ia tidak dilarang kerana tujuan ibu bapa sebenarnya tidak lain tidak bukan hanyalah supaya pembelajaran anak tidak terganggu.

Maka dalam keadaan itu, pastikan kerja sambilan itu tidak mengganggu proses pengajian kita.

Ingat bahawa reda ibu bapa itu begitu penting untuk mendapatkan keredaan-Nya.

(Sumber: Himpunan Soal Jawab Agama Siri 1, Jabatan Mufti Negeri Selangor)