Nur Fitri perlu buktikan berisiko rendah ulangi jenayah

Nur Fitri
Nur Fitri
A
A
A

SHAH ALAM - Penuntut pintar Matematik, Nur Fitri Azmeer Nordin perlu menjalani rehabilitasi dan dibuktikan berisiko rendah mengulangi jenayah untuk terus melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pakar kriminologi dan psikologi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat berkata, Nur Fitri Azmeer telah pun menerima hukuman mengikut undang-undang di United Kingdom tetapi dia perlu menjalani pemulihan kerana hukuman penjara di luar negara tidak sama dengan Malaysia.

Beliau berkata, ini berikutan sistem rehabilitasi dan pemulihan di dalam penjara di negara ini telah digubal khusus untuk penjenayah seksual.

"Penerimaan dan pengakuan melakukan perbuatan salah dan bertaubat mestilah jujur, bukan sekadar ingin memendek atau mengurangkan hukuman.

ARTIKEL BERKAITAN: Pangkalan data pesalah pedofilia akan dikemaskini

Nur Fitri wajar diberi peluang kedua

"Dia perlu menjalani pemulihan dan kanak-kanak yang berisiko (dan keluarga mereka) berhak mengetahui bahawa mereka selamat," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam masa sama, beliau berkata, pengawasan dan pemantauan perlu dilakukan selagi pedofilia masih berkeliaran bebas dalam masyarakat kerana ia mengundang bahaya kepada kanak-kanak yang menepati kriteria sasarannya.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun ada sexual offender registry, ia tidak menjamin pelaku tidak melakukan sesuatu yang berbaur seksual dan kewujudan daftar boleh disalahgunakan.

"Namun seseorang penjenayah yang telah dihukum tidak semestinya kekal menjadi penjenayah," katanya.

Mengulas persoalan adakah ketagihan pedofilia boleh dihilangkan atau mereka perlu menjalani rawatan khas untuk menghilangkan ketagihan tersebut, beliau menjelaskan bahawa ketagihan boleh dikawal dan dikurangkan tetapi ia memerlukan komitmen dan kesungguhan berterusan kerana proses rehabilitasi adalah jangka masa panjang.

"Ia melibatkan fokus ke atas pelbagai elemen atau faktor yang mendasari ketagihan tersebut.

"Pengambilan ubat adalah jalan pintas, berguna secara jangka masa pendek sahaja, dan sangat mudah menyalahkan kelalian atau dos ubat yang tidak sesuai untuk tindakan berulang atau episod akut (dalam hal ini, serangan seksual secara ganas - violent sexual attack)," katanya.

Jelasnya, perwatakan dan tingkah laku pedofilia memerlukan penilaian pelbagai faktor termasuk pengherotan kognitif, atitud, persepsi seksual, dorongan, parafilia, pembelajaran seksual, fokus rangsangan, modus operandi dan persekitaran kriminogenik.

Baru-baru ini, UKM dalam satu kenyataan menjelaskan, Nur Fitri Azmeer yang didapati bersalah memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London dipilih untuk melanjutkan pengajian di universiti itu kerana keupayaan luar biasa dan kecemerlangannya dalam pengajian.

Menurut Pusat Komunikasi Korporat UKM, pihaknya percaya pendidikan boleh membantu transformasi individu dengan memberi peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri bagi mencapai kejayaan tertinggi dalam kehidupan.