Beri sarapan lengkap sumber karbohidrat, protein dan sumber serat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengambilan sarapan sangat baik untuk murid bagi memastikan mereka mendapat tenaga mencukupi dan mampu memberi fokus lebih baik di dalam kelas.

Pegawai Dietetik Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Mohd Hakim Zakaria berkata, pemberian makanan yang lengkap dan berkhasiat perlu dititikberatkan bagi memastikan murid kekal fokus.

"Inisiatif pemberian sarapan percuma kepada murid pada tahun hadapan merupakan inisiatif yang sangat baik.

"Saya cadangkan sarapan yang disediakan perlulah lengkap dengan sumber seperti karbohidrat (nasi, bijirin, roti atau mi/mihun), protein (ayam/ikan atau telur) dan sumber serat daripada sayur serta buah," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, ia bagi memastikan murid mendapat hidangan berkhasiat yang disediakan pihak sekolah.

"Saya juga sarankan agar penyediaan makanan ringan atau segera dielakkan kerana kandungan garam dan lemak yang agak tinggi," katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan pelajar-pelajar terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari.

Melalui program sarapan percuma khas untuk anak-anak di sekolah rendah di seluruh negara itu, beliau berkata, anak-anak akan disediakan sarapan enak berpandukan menu yang sihat dan ia adalah percuma.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pantau kualiti sarapan percuma: MBM