Program CSI libatkan banduan makin terima sambutan

Mohd Huzaimi memulakan balingan pertama sebagai simbolik perasmian pertandingan boling yang melibatkan 19 ODP, kakitangan Pejabat Parol Daerah Temerloh, majikan dan orang awam.
Mohd Huzaimi memulakan balingan pertama sebagai simbolik perasmian pertandingan boling yang melibatkan 19 ODP, kakitangan Pejabat Parol Daerah Temerloh, majikan dan orang awam.
A
A
A

TEMERLOH - Program Corporate Smart Internship (CSI) membabitkan banduan penjara iaitu Orang Diparol (ODP) mula membuka mata banyak pihak syarikat di negeri ini untuk terlibat sama dalam program tersebut.

Ketua Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Pahang, Penguasa Penjara, Mohd Huzaimi Hanafi berkata, beberapa syarikat dilihat menunjukkan minat mendapatkan khidmat tenaga kerja ODP sejak ia mula dilaksanakan pada 2016.

Menurutnya, syarikat-syarikat terbabit telah merujuk ke Pejabat Parol negeri dan daerah untuk program berkenaan.

"Syukur kerana ia mula menunjukkan perkembangan positif dan keyakinan syarikat-syarikat kian bertambah apabila melihat kejayaan program ini. Pahang adalah negeri pertama yang melaksanakan program CSI di Malaysia dan setakat ini hampir 10 syarikat di negeri ini menggunakan khidmat ODP.

"Setakat ini terdapat 153 ODP dan majoritinya ditempatkan dan bekerja di beberapa syarikat antaranya bawah milik Felcra Berhad, Yayasan Pahang sehingga mereka tamat tempoh hukuman masing-masing," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ditemui sempena program intervensi dan jalinan mesra bersama 19 ODP, Pejabat Parol Daerah Temerloh, majikan dan masyarakat di sini.

Mereka bersantai menerusi pertandingan boling di U-Bowl Starmall Mentakab yang berlangsung dengan meriah.

Katanya, beliau mengakui pada peringkat permulaan, majikan sedikit sukar untuk menerima dan menjayakan program tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Mereka (majikan) ragu-ragu apabila ditawarkan namun kita ingin berterima kasih kepada Felcra Berhad yang menjadi syarikat pertama menerima program ini.

"Harapan kita supaya ODP diberikan peluang untuk mengasimilasikan diri bersama masyarakat sehingga tamat tempoh hukuman dan menjadi lebih yakin bila keluar nanti," ujarnya.