Perantau berjasa jana ekonomi Kelantan

Mohd Radzi (kanan) menerima cenderahati daripada Hussamuddin selepas menyampaikan ucaptama pada Kongres Sosioekonomi Kelantan ‘Inklusiviti Dalam Membangunkan Sosioekonomi Negeri Kelantan’ di UMK hari ini.
Mohd Radzi (kanan) menerima cenderahati daripada Hussamuddin selepas menyampaikan ucaptama pada Kongres Sosioekonomi Kelantan ‘Inklusiviti Dalam Membangunkan Sosioekonomi Negeri Kelantan’ di UMK hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Sumber pendapatan di Kelantan bukan sahaja daripada sektor pertanian tetapi 18 peratus turut disumbangkan oleh anak-anak negeri ini yang berada di perantauan.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, berdasarkan kaji selidik pada 2016, didapati situasi itu atau disebut sebagai sektor pindahan semasa juga membantu pertumbuhan ekonomi Kelantan berbanding 8.5 peratus di peringkat nasional.

“Satu fakta yang kita perlu dalami berkaitan ekonomi Kelantan ini ialah ia dijana oleh ekonomi dalaman. Sebenarnya anak-anak dan ahli keluarga yang bekerja di luar hantar duit kepada keluarga mereka di kampung juga jadi faktor.

“Selain bantuan daripada kerajaan Pusat, ini (orang Kelantan berada di luar) juga membolehkan rakyat negeri mendapat kuasa beli seterusnya membantu memberi pulangan kepada ekonomi Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Kongres Sosioekonomi Kelantan ‘Inklusiviti Dalam Membangunkan Sosioekonomi Negeri Kelantan’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini.

Kongres dua hari bermula hari ini disempurnakan Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz yang juga merupakan Pro-Canselor UMK.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Naib Canselor UMK, Prof Ts Dr Noor Azizi Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudeen Tengku Faisal.

Mohd Radzi berkata, kehebatan rakyat Kelantan di luar negeri sudah menjadi satu kenyataan yang dibanggakan, namun begitu sehingga kini tidak ada satu usaha bagi mendapat keberhasilan untuk dimanfaatkan kepada negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Itulah yang sedang kita lihat untuk sama-sama kongsi bagaimana seluruh rakyat Kelantan yang berjaya dapat kembali membantu negeri ini dalam isu-isu pembangunan.

“Kita tidak akan pinggirkan Kelantan. Kita tak nak main politik sampai lima tahun. Apa yang penting kita bangunkan Kelantan kerana mereka sebahagian rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, sektor pelancongan dan juga keindahan alam semula jadi yang terdapat di Kelantan boleh menjadi premium kepada pelancong.

Bagaimanapun katanya, ia memerlukan sentuhan untuk menghidupkan semua itu dengan tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata tetapi boleh dibangunkan menerusi penglibatan sektor swasta.

“Kita tidak mahu pelancong dari luar yang mahu ke Pulau Perhentian singgah di Kota Bharu semata-mata menggunakan perkhidmatan Lapangan Terbang (Sultan Ismail Petra) tanpa memberi pulangan kepada ekonomi negeri.

“Kelantan mempunyai potensi yang cukup besar dan kekuatannya tetapi tidak disusun serta digembleng sepenuhnya. Apa yang kita jana di Kelantan?” soalnya.