MOF umum penubuhan jawatankuasa khas kewangan Islam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEMENTERIAN Kewangan (MOF) hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI) untuk terus mempromosikan dan menggalakkan pembangunan kewangan Islam.

Jawatankuasa yang berkuat kuasa serta-merta itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Amiruddin Hamzah serta dianggotai oleh sembilan orang pengawal selia serta pakar kewangan Islam, kata MOF dalam kenyataan hari ini.

Matlamat penubuhan JKKI itu juga bagi mengukuhkan hala tuju mempromosikan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam terutamanya dalam pasaran sukuk.

"Ini bagi memperkukuh usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan kewangan Islam serta sebagai penyedia perkhidmatan sokongan kewangan Islam utama di peringkat global," demikian menurut kementerian itu.

Selain itu, kata MOF, jawatankuasa itu akan turut menyelaras peranan dan tanggungjawab pihak berkepentingan ke arah meningkatkan industri kewangan Islam di Malaysia, memperkukuh peranan sektor awam sebagai pemacu industri tersebut serta menggalakkan usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap bidang berkenaan.

JKKI dianggotai oleh Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia merangkap Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Datuk Dr Mohd Daud Bakar; Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) yang juga Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Datuk Adissadikin Ali; Pengerusi Institut Kewangan dan Perbankan Malaysia (IBFIM) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Bhd Datuk Mohd Rafique Merican Mohd Wahiduddin Merican dan Ahli Jawatankuasa Syariah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Dr Zaharuddin Abd. Rahman.

Anggota lain adalah Pengerusi Majlis Amanah Rakyat Dr Hasnita Hashim; Timbalan Pengarah, Pembangunan Pasaran Modal Islam Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Dr Md Nurdin Ngadimon; Pengarah Jabatan Perbankan Islam dan Takaful, Bank Negara Malaysia Madelena Mohamed; Ketua Pengarah Kemajuan Islam Malaysia Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Presiden Persatuan Takaful Malaysia merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Takaful Berhad Muhammad Fikri Mohamad Rawi.

Menurut MOF, Bahagian Pelaburan Strategik kementerian tersebut berperanan sebagai Sekretariat JKKI. - Bernama

Artikel Berkaitan: