AirAsia pertimbang terbang ke Albania

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, akan mempertimbangkan untuk menawarkan perkhidmatan bagi laluan ke Albania, menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.

Negara yang terletak di tenggara Eropah itu boleh menjadi antara laluannya di rantau itu, pasaran yang dibayangkan untuk kemasukan semula AirAsia.

“Mengapa tidak? AirAsia sentiasa mencari destinasi yang berbeza dan tidak pernah terlintas di fikiran saya mengenai Albania. Kami akan menelitinya.

“Menteri Albania (Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Blendi Klosi) amat positif (mengenai perkhidmatan kami di negara itu). Jadi, kita lihat nanti,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan Pelancongan Dunia 2019, di sini hari ini.

Fernandes, merupakan antara penceramah di persidangan tersebut, berkongsi pengalamannya mengenai usaha mentransformasikan AirAsia daripada syarikat kecil yang rugi kepada firma terkemuka global dalam industri penerbangan.

Klosi, yang juga penceramah dalam acara itu, mengalu-alukan kehadiran AirAsia, dan katanya, perkhidmatan penerbangan tersebutakan membantu mempromosikan pelancongan Albania serta negara lain di Balkan.

Semasa persidangan berkenaan, kedua-dua mereka secara berseloroh bersetuju untuk AirAsia menawarkan penerbangan ke Albania sekiranya negara itu bersedia menyediakan perkhidmatan lapangan terbang secara percuma dan bantuan promosi.

Sebelum ini, Pengerusi AirAsia X Bhd, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, syarikat penerbangan itu berhasrat memperluaskan pasarannya dan tidak menolak kemungkinan memasuki semula pasaran Eropah.

Artikel Berkaitan:

Awal bulan ini, Fernandes berkata, Thai AirAsia X akan terbang ke Eropah pada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Beliau berkata, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu telah memohon kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan. - Bernama