Perbankan maya kini beroperasi di Malaysia: Gabenor BNM

Nor Shamsiah ketika sesi temu bual bersama wartawan Bernama di pejabatnya Bank Negara Malaysia baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Nor Shamsiah ketika sesi temu bual bersama wartawan Bernama di pejabatnya Bank Negara Malaysia baru-baru ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbankan maya sudah pun beroperasi di Malaysia walaupun rangka kerja pelesenan bank digital akan dikeluarkan bagi perundingan industri menjelang akhir tahun ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, tiada sebarang angka yang ditetapkan bagi pengeluaran lesen.

“Namun, apabila anda bercakap mengenai bank digital, ia mengenai ketidakhadiran secara fizikal (sepenuhnya). Bukan jenis fizikal. Semua perkhidmatan dan transaksi perbankan akan dilaksanakan menerusi Internet atau saluran elektronik berbentuk lain bukan melalui cawangan fizikal.

“Itulah perbezaannya. Rangka kerja berkenaan, yang kini sedang di peringkat untuk dimuktamadkan, akan menjadi keperluan pengawalseliaan BNM bagi pihak yang berminat untuk diberikan lesen.

“Bank-bank di Malaysia juga boleh menyertainya. Bank-bank ini sebenarnya sudah melaksanakan perbankan maya iaitu menerusi tawaran perbankan mudah alih dan e-dompet mereka,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara eksklusif.

Setakat ini, lebih 10 pihak telah menyatakan minat untuk menubuhkan bank maya di Malaysia.

Pada 2018, transaksi kewangan yang dijalankan menerusi saluran perbankan mudah alih melonjak lebih dua kali ganda kepada 257.4 juta transaksi bernilai RM100.1 bilion berbanding 107.7 juta transaksi dengan nilai RM50.7 bilion pada 2017.

Lonjakan itu disokong oleh peningkatan pelanggan secara berterusan kepada 6.6 juta pada 2018 daripada 4.4 juta pada 2017 bagi perkhidmatan perbankan mudah alih.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan tahunan BNM, bukan bank juga membuat peralihan ke arah segmen ini.

Aspek berkaitan pembayaran sentiasa menjadi titik awal yang lazim bagi bukan bank mula menawarkan perkhidmatan kewangan, dengan sesetengahnya beraspirasi untuk berkembang menjadi bank digital.

Daripada 49 pengeluar e-wang bukan bank di Malaysia, tiga daripada empat menawarkan penyelesaian pembayaran mudah alih.

Bukan bank berperanan penting dalam memacu aliran ini dengan menyumbang 88.4 peratus kepada jumlah transaksi berkenaan.

Menurut laporan, Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go(TnG) merupakan antara e-dompet utama di Malaysia selain Lazada Wallet, Samsung Pay dan PayPal.

TnG, 52 peratus milik CIMB Group Holdings Bhd, mempunyai kira-kira 18 juta pengguna aktif di Malaysia manakala Boost mendakwa ia memiliki 4.4 juta penguna di Malaysia dan 90,000 ‘touchpoint’ peniaga. - Bernama