Broker tanah didenda RM19,000 tipu gelaran Dato Paduka

Tertuduh, Mohd Fariza didenda RM19,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku salah menipu gelaran Dato Paduka dan menawarkan projek naik taraf jalan tak wujud, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Fariza didenda RM19,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku salah menipu gelaran Dato Paduka dan menawarkan projek naik taraf jalan tak wujud, tiga tahun lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang broker tanah didenda RM19,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas kesalahan menipu gelaran Datuk Paduka dan menawarkan projek naik taraf jalan tidak wujud, tiga tahun lalu.

Keputusan itu dibuat selepas tertuduh, Mohd Fariza Abu Seman, 46, dari Kampung Durian Burung di sini mengaku salah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang Dan Nama 1963 dan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Lambang Dan Nama 1963, tertuduh didakwa menggunakan nama gelaran Datuk Paduka untuk tujuan memperkenalkan diri sedangkan dia belum pernah dikurniakan gelaran tersebut ataupun menerima apa-apa kebenaran bertulis untuk menggunakan gelaran tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5 akta sama di sebuah restoran di Kuala Terengganu, di sini, lebih kurang jam 11 pagi pada 14 Julai 2016, dan di sebuah premis di Jalan Sultan Mahmud di sini, kira-kira jam 3 petang pada 21 Jun 2016.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh dikenakan denda RM5,000 atau 10 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut tiga pertuduhan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan pula, tertuduh didakwa memperdaya tiga individu masing-masing berusia 63, 51 dan 38 tahun dengan menawarkan satu projek naik taraf jalan tidak wujud sehingga mendorong ketiga-tiga mangsa menawarkan pula kepada orang lain.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lobi Hotel Duyung Marina (9 malam, April 2016); di Kafeteria Perkeso (9 pagi, 15 Mei 2016) dan di lobi Hotel Primula Resorts (3 petang, 9 Julai 2016).

Sejurus pengakuan salah bagi ketiga-tiga pertuduhan direkodkan, mahkamah mengenakan hukuman denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda bagi setiap pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Che Amir Che Musa.