Peguam cadang kerusi Najib dipasang kusyen

Muhammad Shafee
Muhammad Shafee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan supaya kerusi di kandang tertuduh yang menjadi tempat anak guamnya duduk sepanjang prosiding perbicaraan dipasang kusyen.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, kerusi tersebut keras tanpa dilapik span menyebabkan Najib mengalami kesakitan bahagian punggung kerana terpaksa duduk berjam-jam lamanya.

Menurutnya, hampir kesemua tempat duduk di Mahkamah Kuala Lumpur mempunyai kusyen tetapi tidak bagi kerusi di kandang tertuduh.

"Meskipun kerusi di galeri awam mempunyai lapisan kusyen, namun saya diberitahu wartawan senior mereka berasa sakit pinggang kerana duduk lama dan permukaan kerusi itu masih keras.

"Bayangkan, tertuduh perlu duduk di situ berjam-jam. Saya jemput anda duduk di situ hanya untuk sejam. Walaupun lebih muda dan lebih berisi daripada Najib, kita tengok kalau anda mampu bertahan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah hari ini.

Muhammad Shafee berkata, keadaan itu bertentangan dengan konsep keadilan, yang mana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

"Tindakan ini seakan telah menghukum anak guam saya," katanya.

Tambah beliau, memasang kusyen pada kerusi itu tidak akan menelan kos yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Prosiding perbicaraan Najib memakan masa hampir lapan jam sehari dan berlangsung hampir setiap hari sejak 3 April lalu.

Setiap kali prosiding, kelihatan pembantu Najib membawa sebiji bantal untuk dilapik di bahagian belakang tempat duduk Najib.

Dalam pada itu, pasukan pendakwaan menutup kes pendakwaan perbicaraan tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC International hari ini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 11 November ini untuk keputusan di akhir pendakwaan manakala tarikh 22 dan 23 Oktober ditetapkan untuk hujahan.