Ajal selepas enam hari bertarung nyawa

Toyota Innova dipandu seorang guru lelaki terbabas masuk ke dalam semak di tepi jalan sejurus terlanggar motosikal dinaiki mangsa.
Toyota Innova dipandu seorang guru lelaki terbabas masuk ke dalam semak di tepi jalan sejurus terlanggar motosikal dinaiki mangsa.
A
A
A

KEMAMAN - Selepas enam hari bertarung nyawa, seorang pembantu makmal kilang yang cedera parah setelah terbabit kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Cerul, 20 Ogos lalu meninggal dunia kira-kira jam 9.09 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Pemangku Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa, Ainy Sosmila Mohd Salleh, 46, menghembuskan nafas akhir ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kemaman.

"Punca kematian disebabkan darah beku dalam saluran darah ke paru-paru.

"Mangsa turut patah tangan dan tulang rusuk akibat kemalangan tersebut," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam kejadian Selasa lalu, Ainy Sosmila cedera parah apabila motosikal Honda EX5 dinaikinya berlanggar dengan sebuah Toyota Innova di kawasan simpang tiga Kilometer 3 Jalan Cheneh-Cerul, berhampiran Kilang Sawit Ketengah Perwira di sini kira-kira jam 4.40 petang.

Hanyan berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas MPV itu gagal mengelak daripada terlanggar motosikal mangsa yang memasuki lorong dilaluinya kerana jarak sudah terlalu dekat.

Bagaimanapun katanya, pemandu MPV yang juga seorang guru berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ketika kejadian guru terbabit dalam perjalanan dari rumahnya di Bandar Cheneh Baru ke Sekolah Kebangsaan (SK) Cerul, manakala mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya.