Kerajaan disaran wujudkan 'Sekolah Malaysia'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan disaran menyatukan sistem dan kurikulum pendidikan bawah satu aliran bersifat 'Sekolah Malaysia' bukan lagi terpisah dengan sekolah mengikut kaum dan bahasa.

Penganalisis Politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, perubahan ini sesuai dilakukan susulan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat kepercayaan rakyat pelbagai kaum selain wujud persefahaman tinggi dalam kalangan ahli politik.

Menurutnya, sudah tiba masa untuk mewujudkan ‘Sekolah Malaysia' sahaja dengan menasionalisasikan sekolah aliran Cina dan Tamil demi mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini.

“Jika parti lawan boleh sokong usul ubah perlembagaan berhubung usia 18 tahun mengundi dan calon pilihan raya umum, kenapa tidak dilakukan perkara sama dalam isu ini?” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Md Shukri berkata, semua kaum dan parti politik diharap dapat menyatakan sokongan untuk menyatukan semua sekolah vernakular dalam satu aliran Sekolah Malaysia yang diselia kerajaan seratus peratus.

“Buat permulaan, mungkin boleh buang perkataan jenis pada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) kerana menjurus kepada identiti kaum. Jadikan hanya sekolah kebangsaan atau Sekolah Malaysia untuk diseragamkan,” katanya.

Menurutnya, usaha ini bagi menyatukan kepelbagaian pendidikan agar tidak dilihat terpecah berasaskan kaum di negara ini.

“Tidak perlu tangguh lagi untuk laksanakan, inilah masa terbaik. Soalnya, beranikah kerajaan kali ini? Ini kerana halangan kepada penyatuan sekolah ini adalah orang politik dan tokoh kaum, hanya keberanian kerajaan mampu mendepani golongan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Md Shukri turut mencadangkan agar pertubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan berasaskan kaum dibubarkan.

“Kerajaan harus tegas menyatukan sistem pendidikan dan menutup operasi NGO pendidikan berasaskan kaum supaya proses keseragaman pendidikan dapat diletakkan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan tanpa gangguan,” katanya.

Tambah beliau, dikhuatiri masih wujud NGO pendidikan yang bersikap rasis dan mahu menjadi tunjang dalam mendepani isu berkaitan kaum.

“Seperti diperkatakan Dr Mahathir, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) bersikap rasis. Jika dibiarkan beroperasi, akan menimbulkan persepsi NGO itu ibarat ‘kementerian pendidikan kaum Cina’ kepada pejuang sekolah berkenaan,” katanya.