Lebih RM1 juta bangunkan DUN Simpang Pulai

Kar Hing (tengah) bersama ADUN Teja, Sandrea Ng Shy Ching (tiga dari kanan) pada sidang media di Pusat Khidmat ADUN Simpang Pulai hari ini.
Kar Hing (tengah) bersama ADUN Teja, Sandrea Ng Shy Ching (tiga dari kanan) pada sidang media di Pusat Khidmat ADUN Simpang Pulai hari ini.
A
A
A

IPOH - Sebanyak RM1.83 juta peruntukan telah dibelanjakan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Tan Kar Hing berkata, jumlah itu disalurkan bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur, pembangunan, pendidikan serta aktiviti komuniti setempat.

“RM335,000 sumbangan diberikan kepada pertubuhan mahupun persatuan serta pembangunan infrastruktur dalam kawasan DUN seperti landskap, kemudahan, taman permainan dan lain-lain. Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye turut menyalurkan RM120,000 menerusi program mesra rakyat bagi tujuan sama.

“Selain itu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menggunakan RM400,000 bagi menaik taraf jalan termasuk membina tembok, bulatan di Bandar Seri Botani serta RM380,000 di Taman Seri Ampang,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat ADUN Simpang Pulai di Taman Ipoh Jaya di sini.

Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyalurkan masing-masing RM100,000 di Kampung Baru Simpang Pulai serta Kampung Baru Gunung Rapat bagi menaik taraf jalan dan infrastruktur.

Dalam perkembangan lain, Kar Hing berkata, pihaknya menganjurkan Pesta Tanglung sekali gus meraikan Hari Kebangsaan pada 14 September ini.

“Orang ramai tanpa mengira bangsa dijemput hadir dengan berpakaian tradisional bagi memeriahkan karnival yang berlangsung di Dewan Fook Tat Chee, Gunung Rapat,” katanya.

Artikel Berkaitan: